
SUBANG JAYA, 10 SEPT: Gandingan tiga kali antara Rosheedey Faizal Roslan, 40, dan Ahmad Nazri Hamzah, 36, sekali lagi membuahkan hasil apabila pasangan atlet para tenpin boling itu menyumbang pingat emas buat Selangor pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Rosheedey berkata kejayaan tersebut cukup bermakna buat mereka memandangkan temasya kali ini menjadi penampilan terakhir susulan faktor had usia penyertaan.
“Perasaan memang gembira sebab ini tahun terakhir kami untuk Para SUKMA. Kita sudah tiga kali bergandingan untuk Malaysia dan Alhamdulillah, dapat sumbang emas lagi kepada Selangor,” katanya kepada Media Selangor.
“Esok (hari ini) kami akan beraksi dalam acara trio. Doakan kami dapat sumbang emas seterusnya buat negeri ini,” katanya kepada Media Selangor.

Pasangan beregu itu turut berharap akan ada pelapis baharu yang mampu meneruskan kesinambungan skuad tenpin boling Selangor pada Para SUKMA akan datang.
“Saya harap Para SUKMA akan datang ada pelapis yang boleh menggantikan kami,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Nazri berkata beliau turut bersyukur dapat menamatkan penampilan di Para SUKMA dengan kejayaan, selain menyifatkan sokongan keluarga terutama isteri yang banyak menyokongnya sepanjang penglibatan dalam sukan.
Ahmad Nazri yang merupakan atlet orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata kaki kanannya terpaksa dipotong pada 2004 akibat kanser tulang, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus bangkit melawan sehingga kini berjaya bebas daripada sakit berkenaan.
“Sebelum ini saya wakil Malaysia dalam bola keranjang, tetapi selepas menjadi OKU saya cuba sertai tenpin boling dan pada 2024 saya mulai aktif dan sertai beberapa pertandingan.

“Saya cuba nasib dan Alhamdulillah ketika itu juga Selangor panggil untuk menjalani pemilihan dan saya layak menyertai pasukan para boling SUKMA.
“Harap ini SUKMA terakhir yang bermakna buat kami, terima kasih kepada semua yang banyak menyokong. Insya-Allah, selepas ini kami mahu fokus kepada Sukan SEA pula,” katanya.







