JAIS tambah kapasiti kelas, sedia penempatan murid enam tahun ke Tahun Satu

10 Sep 2026, 12:50 AM
JAIS tambah kapasiti kelas, sedia penempatan murid enam tahun ke Tahun Satu
JAIS tambah kapasiti kelas, sedia penempatan murid enam tahun ke Tahun Satu
JAIS tambah kapasiti kelas, sedia penempatan murid enam tahun ke Tahun Satu

SHAH ALAM, 10 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyelesaikan pertambahan kapasiti kelas bagi memastikan penempatan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu Sekolah Rendah Agama (SRA) dapat dilaksanakan dengan lancar.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pihaknya dimaklumkan tiada masalah besar berkaitan kapasiti kelas tambahan yang sedang diselesaikan JAIS, khususnya bagi memastikan keperluan murid dipenuhi dengan baik.

“Saya dimaklumkan oleh pihak JAIS bahawa tiada sebarang masalah kapasiti bagi penyediaan kelas tambahan untuk penempatan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu SRA di bawah kelolaan JAIS.

“Selain isu penempatan, beberapa perkara lain termasuk penggabungan murid berusia enam tahun dengan murid Tahun Satu, aspek pemahaman serta usaha meningkatkan semula penguasaan pembelajaran turut sedang diteliti.

“JAIS juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kita berharap perkara ini dapat dilaksanakan sebaiknya bagi memastikan proses penempatan murid berjalan lancar,” katanya.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap merasmikan Majlis Penutup Hekaton dan Forum AI Selangor 2026 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 9 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penutup Hekaton dan Forum AI Selangor 2026 di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Dr Mohammad Fahmi berkata KPM turut meneliti penyediaan kelas tambahan dalam bentuk kabin sementara sebagai langkah penyelesaian bagi menampung keperluan kapasiti sekali gus memastikan proses kemasukan murid dapat dilaksanakan dengan teratur dan sempurna.

Pada 29 Januari, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sistem pendidikan sekolah agama di bawah JAIS akan diselaraskan dengan dasar baharu pendidikan kebangsaan mulai 2027.

Beliau berkata tempoh setahun akan digunakan bagi memastikan proses pelarasan sistem pendidikan sekolah agama di bawah JAIS itu dapat dilaksanakan secara teratur dan lancar selain mengelakkan kekeliruan serta pertindihan antara kedua-dua sistem.

Menurut Amirudin, persediaan itu antaranya melibatkan cadangan untuk mengenal pasti dan mengoptimumkan penggunaan bilik darjah dengan kapasiti sehingga 45 murid bagi setiap kelas.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mengumumkan bahawa mulai tahun depan, kanak-kanak berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran Tahun Satu secara pilihan, tertakluk kepada keputusan ibu bapa.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.