SHAH ALAM, 10 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyita sebuah lori RORO yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pelupusan sampah haram di Jalan Sijangkang Utama, Telok Panglima Garang, kelmarin.
MPKL memaklumkan operasi penguatkuasaan dan sitaan itu dijalankan sekitar jam 3.30 petang.
Operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan pembuangan dan pelupusan sampah secara haram di kawasan terbabit.
“Sitaan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil 21(1), Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2007 atas kesalahan menjalankan aktiviti tapak pelupusan sampah haram.
“Kesalahan berkenaan turut melibatkan peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil 4, undang-undang kecil sama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurut MPKL, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pelupusan sampah tanpa kebenaran.
Pada masa sama, orang awam diminta membantu menyalurkan maklumat sekiranya mengesan kegiatan berkaitan pembuangan atau pelupusan sampah haram.








