SHAH ALAM, 9 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyita sebuah premis yang menjalankan aktiviti pengasingan sisa elektronik (e-sisa) tanpa lesen di Jalan Pulau Carey, Telok Panglima Garang, baru-baru ini.
MPKL dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu diambil menerusi operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen sah.
“Pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti pengasingan sisa elektronik tanpa memiliki lesen sah daripada MPKL sekali gus melanggar peruntukan undang-undang kecil yang berkuat kuasa.
“Tindakan sitaan diambil terhadap barangan dan peralatan yang digunakan bagi aktiviti tersebut sebagai langkah memastikan pengurusan sisa elektronik dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya menerusi Facebook.
MPKL berkata tindakan sitaan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDKL 2007 yang melibatkan barangan serta peralatan berkaitan aktiviti pengasingan sisa elektronik di premis berkenaan.
Menurut MPKL, operasi bersepadu tersebut dilaksanakan bagi memastikan aktiviti pengurusan sisa elektronik mematuhi peruntukan undang-undang selain mengelakkan kegiatan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.
Dalam pada itu, MPKL turut akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi berkaitan bagi memastikan setiap aktiviti perniagaan di kawasan pentadbirannya mematuhi syarat pelesenan dan peraturan ditetapkan.









