SHAH ALAM, 9 SEPT: Keadaan dan tahap keselesaan pendaki paling muda, Ahmad Raef Wan Ahmad Aslam, 9, menjadi keutamaan malim gunung ketika kumpulan mereka berdepan kelewatan hingga mengambil masa lebih 10 hari untuk keluar dari hutan dalam ekspedisi pendakian Gunung Trans Gerah (Trans GBB).
Malim gunung Shafiee Sidek, 49, berkata setiap kali kumpulan tiba di sesuatu lokasi kira-kira jam 7 malam, mereka akan berbincang sama ada mahu meneruskan perjalanan atau bermalam dengan mengambil kira keadaan Ahmad Raef.
“Apabila kita sampai pada satu-satu tempat itu dalam jam 7, kita berbincang nak teruskan perjalanan atau nak tidur situ.
“Jadi kita tengok pada yang paling bongsu sekalilah, kalau dia kata nak tidur, okey kita tidur,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Gerik hari ini, lapor Harian Metro.
Shafiee yang mempunyai kira-kira 20 tahun pengalaman mendaki berkata Ahmad Raef merupakan pendaki paling muda pernah diiringinya dalam aktiviti sedemikian.
Menurutnya, kemampuan Ahmad Raef dan kakaknya, Diya Raisha, 13, menempuh pelbagai bentuk laluan termasuk balak besar, kawasan curam berbatu serta lereng menunjukkan kedua-duanya mampu mengikuti cabaran perjalanan di dalam hutan.
“Condition (keadaan) bagus. Anak-anak dia boleh ikut kita. Langkah balak besar, dia boleh naik atas balak besar, kita turun tempat curam berbatu dia boleh ikut. Kita lalu lereng, dia boleh ikut,” katanya.
Shafiee berkata beliau tidak bimbang pada peringkat awal pendakian selepas melihat keadaan kedua-dua kanak-kanak itu yang mampu bertahan sehingga ke tapak perkhemahan tanpa berdepan masalah.
Beliau yang mengiringi keluarga terbabit bersama rakannya Hazman Mamat, 43, turut memaklumkan bekalan makanan yang dibawa mencukupi sepanjang tempoh pendakian dan tidak perlu dicatu. Menurutnya, persiapan pendaki merangkumi makanan untuk sarapan, tengah hari dan malam.
Kelewatan perjalanan katanya, berpunca daripada keadaan laluan dari Gunung Biah ke Gunung Sepat yang dipenuhi rotan dan buluh sehingga memerlukan mereka menebas laluan sebelum mengambil keputusan memotong perjalanan dari Gunung Sepat ke Kampung Orang Asli Pos Agih.
Terdahulu, enam pendaki yang menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan dibawa keluar dengan selamat dari Pos Kemar, Gerik pada jam 8.30 pagi.
Selain Ahmad Raef, Diya Raisha dan dua malim gunung terbabit, dua lagi pendaki ialah ibu bapa kepada kedua-dua kanak-kanak berkenaan.








