Bomba Selangor rekod 40 operasi menyelamat pendaki dalam enam bulan

15 Jul 2026, 3:00 AM
Bomba Selangor rekod 40 operasi menyelamat pendaki dalam enam bulan
Bomba Selangor rekod 40 operasi menyelamat pendaki dalam enam bulan
Bomba Selangor rekod 40 operasi menyelamat pendaki dalam enam bulan
Bomba Selangor rekod 40 operasi menyelamat pendaki dalam enam bulan
Bomba Selangor rekod 40 operasi menyelamat pendaki dalam enam bulan
Bomba Selangor rekod 40 operasi menyelamat pendaki dalam enam bulan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sebanyak 40 operasi menyelamat pendaki yang berdepan masalah kecemasan dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu hampir 70 peratus daripada keseluruhan 58 kes yang direkodkan sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu, termasuk satu kes kematian membabitkan seorang remaja wanita berusia 19 tahun pada Mei.

Pengarah JBPM Selangor Dato' Wan Md Razali Wan Ismail berkata peningkatan operasi khidmat khas itu dipengaruhi beberapa faktor, antaranya trend masyarakat, khususnya golongan muda, yang semakin gemar melakukan aktiviti lasak.

Beliau menjelaskan peningkatan angka berkenaan juga disebabkan beberapa faktor lain antaranya tersalah laluan pendakian, mengalami kecederaan, keletihan selain terperangkap akibat cuaca buruk.

Wawancara Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Dato' Wan Md Razali Wan Ismail di Ibu Pejabat JBPM Selangor, Shah Alam pada 1 Julai 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kita nampak kes meningkat ketara sebab ini (jumlah) untuk separuh tahun sahaja. Hobi masyarakat sekarang sama ada individu atau berkumpulan, mereka suka jalankan aktiviti mendaki.

“Di Selangor ni, beberapa tempat tumpuan yang sering dilaporkan berlaku kes kecemasan adalah Bukit Broga dan Gunung Nuang.Juga di Bukit Tabur Ampang dan Gombak, Hutan Simpan Bukit Kutu dan Bukit Batu Pahat.

“Kawasan rekreasi bermandi mandi di Sungai Chiling juga kerap terima laporan kecemasan. Air terjun ni ada peringkat ketinggian, jadi tarik minat pendaki. Bila berlaku cuaca buruk, berdepan dengan fenomena kepala air,” katanya kepada Media Selangor.

Wan Md Razali berkata hutan di negeri ini merangkumi pelbagai kategori berdasarkan faktor tumbuhan dan pokoknya, dengan kawasan utara Selangor iaitu Gombak dan Hulu Selangor menjadi lokasi berisiko.

Jelasnya, hutan sekitar kawasan itu yang bersempadan dengan Perak dan Pahang berada dalam kategori hutan tebal dan masih mengekalkan ciri semulajadi, sekali gus menyukarkan aktiviti pendakian.

“Macam hutan di Kuala Kubu Bharu. Masih tebal, hutannya semula jadi. Dan ini yang menjadi tarikan pendaki. Mereka nak cuba suasana baharu walaupun kawasan itu berisiko.

“Bila hutan lagi tebal dan berisiko, mereka lagi teruja. Mereka nak rasa, nak pengalaman itu. Ini yang boleh mendatangkan masalah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setiap operasi menyelamat mangsa dilaksana secara berbeza mengikut tahap kesukaran selain jumlah anggota juga bergantung dengan keseriusan kes.

Katanya, terdapat sesetengah kes yang memerlukan bantuan daripada agensi lain seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam dan kakitangan jabatan perhutanan selain penggunaan aset seperti helikopter.

“Apabila terima laporan, kita terus bertindak. Hasil maklumat awal, kita sediakan keperluan. Dari situ kita terus laksanakan operasi menyelamat. Bilangan dan keperluan anggota bergantung kepada situasi.

“Pada dasarnya, setiap anggota mendapat latihan menyelamat tapi kita ada Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) yang selalu terlibat jalankan misi-misi khas.

“Pasukan ini didedahkan dengan pelbagai latihan dan kursus termasuk aktiviti ekstrem seperti penyelamatan di tempat yang sukar, tempat tinggi, paya. Mereka juga jalani kursus menyelamat gunakan helikopter untuk kes tertentu,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Dato' Wan Md Razali Wan Ismail (tengah) bersama pegawai dan anggota di Ibu Pejabat JBPM Selangor, Shah Alam pada 1 Julai 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.