Demi keselamatan, pendaki disaran guna khidmat malim gunung

15 Jul 2026, 6:00 AM
Demi keselamatan, pendaki disaran guna khidmat malim gunung

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pendaki khususnya yang menyertai aktiviti secara berkumpulan digalakkan mendapatkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan keselamatan sepanjang pendakian.

Pengerusi Persatuan MGP Mohamad Azuan Abdullah berkata penggunaan khidmat malim bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keselamatan, malah membantu memastikan aktiviti pendakian berjalan lebih teratur dan lancar.

Jelas beliau, peranan MGP bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia pendakian kerana sejak dahulu lagi setiap ekspedisi mempunyai ketua yang bertanggungjawab memimpin dan memastikan keselamatan kumpulan.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Perhutanan Malaysia, Mohamad Azuan Abdullah. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Susulan berlaku kes kecemasan di kawasan hutan termasuk kehilangan pendaki, kerajaan mengambil langkah melesenkan MGP bagi mengiktiraf profesion itu serta memperkukuh aspek keselamatan.

“Dengan adanya MGP, risiko kemalangan atau kecederaan dapat dikurangkan. Kini, permit memasuki Hutan Simpan Kekal turut disertakan garis panduan yang mewajibkan penggunaan khidmat MGP.

“Beberapa negeri juga sedang dalam proses mewajibkan perkara ini. Pahang dan Perak misalnya sangat menekankan penggunaan MGP kerana laluan pendakian di negeri berkenaan melibatkan Banjaran Titiwangsa yang panjang dan mencabar,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas perkembangan profesion itu, Mohamad Azuan yang juga Pengerusi MGP Selangor berkata sebelum sistem pelesenan diperkenalkan, kebanyakan kumpulan pendaki hanya melantik individu yang dipercayai dan berpengalaman dalam aktiviti pendakian atau perhutanan untuk mengetuai ekspedisi.

Bagaimanapun, beberapa insiden kecemasan seperti pendaki sesat dan cedera mendorong Jabatan Perhutanan membuka peluang kepada individu yang berminat untuk menjadi MGP, dengan Johor menjadi negeri perintis pada 2020.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Perhutanan Malaysia, Mohamad Azuan Abdullah. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Jabatan Perhutanan menjalankan kajian menyeluruh sebelum melaksanakan sistem ini, termasuk mengadakan bengkel. Bakal malim juga perlu mengikuti pelbagai latihan dan kursus yang dikendalikan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Setakat ini terdapat kira-kira 4,000 MGP di seluruh Semenanjung Malaysia, namun hanya sekitar 1,800 yang berdaftar. Di Selangor sahaja, lebih 400 orang memiliki lesen sah.

“Tidak semua MGP menyertai persatuan, tetapi mereka yang bukan ahli tidak menikmati pelbagai manfaat yang disediakan kepada ahli berdaftar,” katanya.

Berhubung keperluan menggunakan khidmat malim, Mohamad Azuan berkata hasil kajian yang dijalankan mencadangkan seorang MGP mengendalikan maksimum tujuh pendaki pada satu-satu masa bagi memastikan setiap peserta dapat dipantau 8sepanjang aktiviti berlangsung.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.