SHAH ALAM, 27 MEI: Konsep “bandar span” boleh menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah banjir kilat yang semakin buruk di kawasan bandar padat seperti Petaling Jaya, kata Persatuan Pereka Bandar Malaysia (PerekaBandar).
Presidennya, Shuhana Shamsuddin berkata langkah mitigasi banjir secara konvensional tidak lagi mencukupi untuk kawasan bandar yang pesat membangun dan mempunyai permukaan konkrit yang tidak menyerap air.
“Konsep ‘bandar span’, yang telah dipopularkan di negara seperti China, memberi tumpuan kepada reka bentuk bandar yang mampu menyerap, menakung dan mengurus air hujan secara semula jadi berbanding menyalurkannya terus ke longkang yang akhirnya melimpah ketika hujan lebat.
“Konsep sama turut dilaksanakan di peringkat antarabangsa menerusi Water-Sensitive Urban Design di Australia dan Sustainable Urban Drainage Systems di United Kingdom.
“Masalah hari ini bukan hanya perubahan iklim, tetapi cara kita membangunkan bandar. Perancangan bandar tidak boleh terus tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan tanah tanpa mengambil kira kesan terhadap alam sekitar,” katanya kepada Media Selangor.

Shuhana berkata demikian bagi menyokong cadangan Ahli Majlis Zon 19 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Nalina Nair Rama Krishnan untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar span bagi memperkukuh daya tahan iklim dan menangani masalah banjir kilat yang semakin buruk.
Nalina berkata perubahan iklim kini sudah memberi kesan kepada kawasan bandar dengan corak hujan yang semakin tidak menentu dan kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap.
Shuhana berkata Petaling Jaya kini semakin terdedah kepada banjir kilat berikutan kawasan hijau yang semakin berkurangan serta penggunaan meluas permukaan konkrit dan asfalt yang menghalang air hujan daripada diserap ke dalam tanah.
“Air hujan yang jatuh di atas bumbung, jalan raya dan laluan pejalan kaki kini terus mengalir ke longkang, sekali gus menyebabkan limpahan air permukaan yang teruk ketika hujan lebat,” katanya.
Beliau menambah sistem saliran sedia ada dibina beberapa dekad lalu untuk pembangunan berkepadatan rendah dan tidak dinaik taraf secukupnya bagi menampung projek pembangunan baharu.
Menurutnya, iklim tropika Malaysia sememangnya menerima taburan hujan tinggi sepanjang tahun, namun perubahan iklim menyebabkan corak cuaca semakin tidak menentu dengan ribut dan hujan lebat berlaku secara lebih mendadak dan ekstrem.

“Dahulu musim monsun lebih mudah diramal. Kini hujan lebat boleh berlaku hampir pada bila-bila masa dan bandar seperti Petaling Jaya tidak lagi mampu menampung jumlah air kerana terlalu sedikit permukaan semula jadi yang tinggal untuk menyerap air.”
Reka bentuk semula bandar diperlukan
Shuhana berkata antara langkah yang boleh dicadangkan di bawah model bandar span untuk Petaling Jaya termasuk menambah kawasan hijau dan ruang terbuka, memperkenalkan taman tadahan hujan berlandskap, melaksanakan bumbung hijau serta sistem takungan air di atas bumbung, selain menggantikan permukaan biasa dengan bahan telap air yang membolehkan air meresap ke dalam tanah.
Beliau turut mencadangkan longkang konkrit tradisional digantikan dengan bioswale, iaitu sistem saliran berlandskap menggunakan tumbuhan untuk menyerap dan memperlahankan aliran air secara semula jadi yang digunakan secara meluas di United Kingdom.
Bagi kawasan bandar padat yang mempunyai ruang terbuka terhad, Shuhana mencadangkan pembinaan tangki simpanan air bawah tanah di bawah padang dan kawasan lapang awam untuk menampung lebihan air hujan sementara ketika hujan lebat.
Tambahnya, kelulusan pembangunan baharu pada masa depan juga perlu mewajibkan reka bentuk bangunan mesra air, sistem tadahan air hujan dan integrasi infrastruktur hijau bagi mengurangkan kebergantungan terhadap rangkaian saliran lama.
Beliau turut mengkritik kelulusan berterusan projek pembangunan bertingkat tinggi dan lebuh raya bertingkat tanpa langkah mitigasi alam sekitar mencukupi, sambil memberi amaran ia akan meningkatkan risiko banjir sekiranya dasar perancangan tidak diubah.
“Kawasan hijau penting bukan sahaja untuk pengurusan banjir, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup bandar, kualiti udara, rekreasi dan kesejahteraan mental penduduk.
“Tiada pilihan lain untuk bandar padat seperti Petaling Jaya. Jika pembangunan diteruskan seperti biasa tanpa mengintegrasikan perancangan alam sekitar, banjir kilat hanya akan menjadi lebih kerap dan lebih buruk,” katanya.








