SHAH ALAM, 6 MEI: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor akan membincangkan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kadar sewa premis perniagaan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dikurangkan.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata perkara itu memberi impak besar dan memerlukan penelitian mendalam serta perbincangan lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat MMKN akan datang untuk diteliti daripada pelbagai sudut, termasuk implikasi kewangan terhadap PBT serta kesan ekonomi secara menyeluruh kepada peniaga,” katanya kepada Media Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar semalam yang menggesa kerajaan Negeri dan PBT mempertimbangkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan bagi mengurangkan tekanan kos terhadap peniaga dan perusahaan kecil dalam keadaan ekonomi semasa.

Sebagai langkah permulaan, Anwar berkata premis di bawah syarikat dan agensi berkaitan kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA Holdings Bhd akan menurunkan kadar sewa bermula bulan ini.
Menurut Suee Lim, selain peniaga yang beroperasi di bawah PBT, faktor global seperti konflik geopolitik dan kenaikan harga bahan api turut memberi tekanan kepada sektor lain.
“Isu global seperti peperangan dan kenaikan harga bahan api memberi kesan besar kepada semua sektor, bukan sahaja perniagaan tetapi juga sektor swasta secara keseluruhan.
“Kita perlu meneliti kesan jangka pendek dan panjang secara terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.










