Para SUKMA 2026: Semangat luar biasa atlet boling para Selangor tuai emas

9 Sep 2026, 1:00 AM
Para SUKMA 2026: Semangat luar biasa atlet boling para Selangor tuai emas
Para SUKMA 2026: Semangat luar biasa atlet boling para Selangor tuai emas

SUBANG JAYA, 9 SEPT: Kejayaan atlet para tenpin boling Selangor menyumbang pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang sukan.

Atlet emas Selangor, Nor Suhaili Yusof, 37, berkata kejayaan itu sememangnya menjadi sasaran, namun beliau tidak menyangka impian berkenaan dapat direalisasikan pada hari pertandingan tersebut.

Menurutnya, sokongan suami, keluarga dan rakan-rakan menjadi antara sumber kekuatan untuknya terus memberikan persembahan terbaik.

Atlet Selangor, Nadia Syafika dalam Acara para Tenpin Bowling perseorangan TPB9 Terbuka SUKMA Selangor 2026 di Sunway Megalanes pada 19 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Memang saya sasarkan emas dan tidak sangka dapat hari ini. Saya sangat bersyukur.

“Saya memang minat sukan boling dan walaupun OKU sejak lahir sebagai amputi tanpa kaki, saya tidak pernah menjadikan keadaan itu sebagai halangan. Kita perlu sentiasa positif, teruskan minat dan rajinkan bergaul dengan rakan-rakan yang senasib,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Nor Suhaili, cabaran terbesar baginya adalah mengekalkan momentum sepanjang pertandingan, terutama apabila berdepan tekanan untuk mengekalkan prestasi.

Beliau yang menganggap temasya kali ini sebagai penampilan terakhir di Para SUKMA berkata selepas ini mempunyai perancangan untuk terus aktif dalam sukan berkenaan dengan menyertai kejohanan terbuka.

Sementara itu, atlet tenpin para boling yang turut berjaya meraih pingat emas Selangor, Rosheedey Faizal, 40, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil latihan yang dilakukan sejak setahun lalu.

“Saya gembira sangat dapat menyumbangkan emas. Saya sudah berlatih sejak setahun lalu dan apa yang dilatih itulah hasilnya hari ini.

“Saya memang minat boling sejak 2010 dan bagi saya tiada cabaran kerana saya datang untuk bermain dan bergembira. Kita kena sentiasa positif. Buat apa nak rasa tercabar sebab lawan kita bukan manusia, tetapi bola dan pin,” katanya.

Rosheedey yang mula menyertai para boling pada 2014 selepas mengalami masalah lumpuh tulang belakang dan kaki pada 2010 berkata ibu, adik dan jurulatih menjadi sumber inspirasinya untuk terus aktif dalam sukan.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada golongan OKU supaya tidak mudah berputus asa dalam mengejar minat dan impian.

Manakala, dalam acara beregu pula, Muhamad Amin Abd Rashid dan Syazwan Akmal Yahya meluahkan rasa gembira selepas berjaya menyumbang kejayaan buat kontinjen Selangor.

Atlet Selangor, Muhamad Amin Abd Rashid dan Syazwan Akmal Yahya dalam Acara Para Tenpin Boling Beregu TPB10+ TPB10 sempena SUKMA Selangor 2026 di Sunway Megalanes pada 8 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Muhamad Amin berkata perasaan gementar pada awal pertandingan akhirnya dapat diatasi hasil kepercayaan jurulatih dan kerjasama bersama gandingannya.

Beliau yang terlibat dalam kemalangan pada 2011 berkata dirinya tidak pernah bermain boling sebelum itu, namun mula menceburi sukan berkenaan dan kini berpeluang mewakili Malaysia dalam tenpin boling.

“Terima kasih kepada jurulatih kerana memberikan kepercayaan kepada kami untuk bermain dalam acara beregu. Kami mahu pergi lebih jauh selepas ini,” katanya.

Bagi Syazwan pula, penampilan sulungnya di Para SUKMA disifatkan cukup mencabar, dengan persaingan sengit yang menuntut semangat berpasukan tinggi.

Syazwan yang mengalami kecederaan saraf selepas terlibat dalam kemalangan pada 2017 berkata beliau tetap turun bertanding walaupun dalam keadaan sakit.

“Pertandingan tahun ini sangat sengit. Yang penting ialah kerjasama pasukan. Saya bermain dalam keadaan sakit tetapi Alhamdulillah dapat mengatasinya,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.