
SUBANG JAYA, 8 SEPT: Selangor membolot tiga pingat emas dalam acara tenpin boling pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, di sini.
Kejayaan itu turut menyaksikan kontinjen tuan rumah membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa menerusi beberapa acara yang dipertandingkan.
Pingat emas pertama Selangor disumbangkan Nor Suhaili Yusuf dalam acara perseorangan TPB8 (kerusi roda) wanita selepas mengumpul keseluruhan 716 mata.
Rosheedey Faizal Roslan kemudian menambah koleksi emas kontinjen tuan rumah apabila muncul juara acara perseorangan TPB8 lelaki dengan catatan 1,144 mata.
Gandingan Muhamad Amin Abd Rashid dan Syazwan Akmal Yahya pula menyempurnakan kutipan tiga emas Selangor menerusi acara beregu TP910 + TPB10 (ketidakupayaan badan) terbuka selepas mengumpul 2,197 mata.
Sementara itu, Nadia Syafika Abdul Rahman menyumbang pingat perak menerusi acara perseorangan TP9 (ketidakupayaan kaki) terbuka.
Ahmad Nazri Mohd Hashim pula menghadiahkan pingat gangsa kepada Selangor dalam acara perseorangan TPB8 lelaki, sekali gus melengkapkan kutipan lima pingat kontinjen berkenaan dalam acara tenpin boling.
Para SUKMA yang berlangsung sejak 5 September lalu mempertandingkan 369 acara membabitkan 10 jenis sukan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.
Kontinjen Selangor diketuai Lim Yi Wei dengan sasaran 60 pingat emas, selain memburu gelaran juara keseluruhan pada edisi kali ini.








