Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia dalam nahas helikopter

8 Sep 2026, 12:50 PM
Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia dalam nahas helikopter

SHAH ALAM, 8 SEPT: Seorang pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Ainul Baroah Kamaruddin, 32, disahkan meninggal dunia dalam nahas helikopter di Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang tadi.

Adik iparnya, Nureez Mohd Pauzi berkata, keluarga dimaklumkan mengenai kematian Dr Ainul menerusi panggilan KKM kepada suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, kira-kira jam 4 petang, lapor Harian Metro.

“Kementerian Kesihatan menghubungi keluarga memaklumkan Dr Ainul yang berada dalam nahas helikopter berkenaan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, keluarga yang berada di Kelantan kini dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Sarawak pada awal pagi esok.

“Kami sekeluarga berada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra untuk ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Sarawak pada Subuh esok.

“Kami masih terkejut dan penerbangan paling awal ke Sarawak adalah pagi esok,” katanya.

Dr Ainul yang berasal dari Kota Bharu mula bertugas di sebuah hospital di Miri sejak tahun lalu selepas sebelum itu berkhidmat di Hospital Tanah Merah.

Beliau berpindah ke Sarawak bagi mengikuti suaminya yang bertugas sebagai guru di Miri.

Nureez berkata, keluarga masih belum mengetahui tujuan perjalanan Dr Ainul menaiki helikopter berkenaan.

Terdahulu, sebuah helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan menerima notifikasi kejadian daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Selain Dr Ainul, empat lagi yang berada dalam helikopter berkenaan ialah juruterbang serta tiga kakitangan KKM, termasuk dua jururawat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.