Nahas helikopter: Keluarga Dr Ainul serah barangan untuk ujian DNA

9 Sep 2026, 3:32 AM
Nahas helikopter: Keluarga Dr Ainul serah barangan untuk ujian DNA

SHAH ALAM, 9 SEPT: Keluarga Dr Ainul Baraah, 32, akan menyerahkan barangan peribadi milik Allahyarham kepada polis bagi membantu proses pengecaman menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) susulan nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.

Bapanya, Kamaruddin Salleh, 69, berkata polis menghubungi keluarga malam tadi dan memaklumkan sampel DNA akan diambil bagi tujuan berkenaan.

"Polis menghubungi kami malam tadi memaklumkan akan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesan jenazah anak saya," katanya seperti dilapor BH.

Pesara guru itu berkata pihak polis turut meminta beliau membawa barangan peribadi yang sering digunakan Allahyarham.

"Saya membawa berus gigi dan sikat rambut Allahyarham untuk diserahkan kepada pihak polis.

"Polis memaklumkan akan melakukan ujian DNA dan urusan lanjut sebaik saya tiba di sana.

"Saya kini berada di rumah besan di Bangi dan dijangka berlepas ke Sarawak tengah hari ini.

"Sebarang perkembangan dan kedudukan suami Ainul juga saya tidak tahu sama ada dia pergi ke lokasi kejadian atau menunggu di Miri.

"Namun sebahagian keluarga sudah berlepas ke Sarawak pagi ini," katanya.

Kamaruddin berkata keluarga masih berbincang mengenai lokasi pengebumian Allahyarham yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu.

"Saya akan buat mana yang terbaik dan berharap semoga urusan dipermudahkan.

"Sama ada dikebumikan di sana atau dibawa ke Kelantan," katanya.

Semalam, media melaporkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Long Lellang Short Takeoff and Landing Port (STOLport) di Sarawak.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan pihaknya menerima notifikasi mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Selain Dr Ainul Baraah, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, PPP Alexson Adit dan jururawat Debra Moset serta Jessie Paya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.