MMA saran semak elaun perkhidmatan kesihatan udara RM30, kekal sejak 1978

10 Sep 2026, 7:40 AM
MMA saran semak elaun perkhidmatan kesihatan udara RM30, kekal sejak 1978

IPOH, 10 SEPT: Nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak yang meragut nyawa petugas kesihatan baru-baru ini perlu dijadikan titik perubahan dalam usaha memperkukuh standard keselamatan pengangkutan perubatan di seluruh negara.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata kerajaan perlu memastikan semua aset yang digunakan untuk membawa petugas kesihatan memenuhi piawaian keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan semasa menjalankan tugas di lapangan.

“Penilaian terhadap jangka hayat aset, rekod penyelenggaraan, pensijilan keselamatan, peralatan kecemasan serta kesesuaiannya dengan muka bumi dan cuaca perlu diteliti secara berkala oleh pihak berwajib.

“Tiada pengangkutan seperti pesawat, ambulans mahupun bot yang harus digunakan semata-mata kerana ia tersedia atau terikat dengan kontrak, kebajikan dan keselamatan petugas kesihatan mesti sentiasa menjadi keutamaan tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Kebangsaan MMA dan Kongres Saintifik 2016 di sini hari ini.

Pada 8 Sept lepas, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak mengorbankan empat petugas kesihatan negara dan seorang juruterbang.

Dalam pada itu, Thirunavukarasu berkata kerajaan juga disaran menyemak semula Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara sebanyak RM30 yang diguna pakai sejak 1978 kerana sudah tidak selari dengan persekitaran kerja serta risiko semasa.

Beliau turut mencadangkan perlindungan insurans perjalanan dan kemalangan diri khusus perlu disediakan kepada setiap petugas kesihatan yang menjalankan tugas rasmi di mana-mana lapangan sama ada di udara, darat mahupun laut.

“Bayaran insentif RM30 mesti dikaji semula secara menyeluruh bagi memastikan perlindungan mencukupi dan adil diberikan kepada mereka yang menjalankan tugas berisiko tinggi, tanpa mengira kategori perkhidmatan.

“Manakala perlindungan insurans ini mesti diberikan tanpa mengira sama ada petugas berjawatan tetap, kontrak atau diambil bekerja melalui pengendali yang dilantik,” katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.