SHAH ALAM, 9 SEPT: Penduduk negara ini khususnya di Semenanjung tidak perlu terlalu bimbang terhadap risiko gempa bumi kerana kedudukannya yang berada di luar Lingkaran Api Pasifik.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Malaysia berada sedikit ke dalam daripada kawasan pertemuan plat bumi, yang menjadi antara zon paling aktif gempa bumi dan gunng berapi di dunia.
“Lingkaran Api Pasifik adalah kawasan pertemuan dua plat bumi. Kita bukan duduk di kawasan pertemuan itu, kita duduk di dalam kerak bumi. Maknanya ia tak seaktif seperti yang di kawasan yang bertemu itu,” katanya ketika kepada Media Selangor.

Beliau berkata kedudukan itu menyebabkan kejadian gempa bumi di Malaysia tidak sekuat seperti yang dialami negara yang berada di kawasan Lingkaran Api Pasifik seperti Indonesia dan Filipina.
“Kalau berlaku pun gempa, mungkin yang kecil saja dalam ukuran 3 hingga 4 magnitud. Berdasarkan kajian, magnitud paling kuat yang boleh berlaku di Semenanjung adalah sekitar 5 magnitud, iaitu sederhana dan tidak menyebabkan kerosakan besar.
“Berbanding kalau gempa yang berlaku di kawasan terletak di Lingkaran Api Pasifik, boleh sampai 8 hingga 9 magnitud dan menyebabkan kerosakan besar,” jelasnya.
Bagaimanapun, Mohd Hisham berkata keadaan di Sabah sedikit berbeza kerana negeri itu pernah merekodkan gempa bumi bermagnitud 6 yang berpotensi menyebabkan kerosakan.
Terdahulu, terdapat kebimbangan yang disuarakan beberapa pengguna media sosial mengenai kemungkinan Malaysia dilanda gempa bumi berikutan kedudukannya yang dikatakan berhampiran kawasan Lingkaran Api Pasifik.
Pada 23 Februari 2026, gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda perairan Sabah, iaitu gegaran terkuat pernah direkodkan di negara ini dalam tempoh 11 tahun.
Gegaran bermagnitud 6.0 juga pernah melanda Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015. Kejadian itu mengorbankan 18 nyawa dan kekal sebagai antara tragedi paling diingati dalam sejarah negara.
Pada 28 Ogos 2026, gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 dilaporkan melanda kawasan Temenggor di Gerik. Pada 25 Ogos pula, gempa bumi lemah bermagnitud 3.1 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor.
Perairan Batu Pahat, Johor juga merekodkan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada 21 Jun, magnitud 3.1 (4 April) dan magnitud 3.2 (14 Mac)
Pada Ogos 2025, Segamat merekodkan empat kejadian gempa bumi dalam tempoh seminggu iaitu pada 24, 27, 28 dan 29 Ogos, masing-masing dengan magnitud 4.1, 3.2, 2.5 dan 3.4.







