Buli siber dalam kalangan pelajar catat kadar membimbangkan

8 Sep 2026, 10:00 AM
Buli siber dalam kalangan pelajar catat kadar membimbangkan

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kadar buli siber dalam kalangan murid berusia 15 tahun di Malaysia didapati lebih tinggi berbanding purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), berdasarkan dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025.

Dapatan menunjukkan kurang daripada lima peratus murid Malaysia melaporkan pernah mengalami buli siber, berbanding purata OECD sebanyak tiga peratus, lapor Sinar Harian.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius kerana keselamatan, kesejahteraan dan sokongan orang dewasa mempunyai kaitan langsung dengan proses pembelajaran murid.

Menurutnya, murid yang mengalami buli siber turut menunjukkan kecenderungan mencatat pencapaian akademik lebih rendah.

“Buli di sekolah mungkin berakhir apabila seorang murid pulang ke rumah. Namun, buli siber boleh terus mengikutinya ke mana sahaja.

“Sebab itu keselamatan dan kesejahteraan bukan perkara sampingan dalam pendidikan,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan PISA 2025, Selasa.

Fadhlina berkata, kehidupan murid hari ini tidak lagi tertumpu kepada sekolah kerana interaksi turut berlaku melalui telefon pintar, kumpulan sembang dan pelbagai platform digital.

Justeru, setiap kanak-kanak perlu tahu bahawa ada orang dewasa yang bersedia mendengar, mempercayai dan mengambil tindakan apabila mereka berdepan masalah.

PISA 2025 melibatkan 7,624 murid berusia 15 tahun daripada institusi bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekolah swasta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan GiatMARA.

Dalam perkembangan sama, dapatan PISA 2025 turut menunjukkan penurunan sokongan ibu bapa terhadap pembelajaran anak.

Peratus ibu bapa yang berbincang mengenai aktiviti sekolah turun kepada 51 peratus berbanding 57 peratus pada 2022, manakala perbincangan mengenai masalah di sekolah merosot daripada 46 peratus kepada 34 peratus.

Fadhlina berkata, dapatan itu bukan bertujuan mencari pihak yang perlu dipersalahkan, sebaliknya menjadi petunjuk terhadap keperluan sokongan yang lebih kuat daripada keluarga.

“Guru boleh mengajar di dalam bilik darjah, manakala KPM boleh menyediakan kurikulum, tenaga pengajar, sekolah dan pelbagai bentuk sokongan.

“Namun, tiada sistem pendidikan yang mampu menggantikan peranan sebuah keluarga dalam kehidupan seorang anak,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa tidak perlu menjadi ‘guru kedua’ di rumah, sebaliknya sokongan boleh bermula dengan meluangkan masa, bertanya tentang pembelajaran serta mendengar masalah anak.

Beliau berkata, peningkatan pencapaian pendidikan negara memerlukan tanggungjawab bersama antara KPM, sekolah, guru dan keluarga.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.