SHAH ALAM, 2 SEPT: Pertengkaran di TikTok, WhatsApp, Instagram atau permainan dalam talian berisiko terbawa ke sekolah sehingga mencetuskan pergaduhan fizikal jika konflik dibiarkan berlarutan.
Asisten Superintendan Yusmar Yadee Salim dari Unit Pencegahan Gangsterism Bukit Aman berkata buli siber boleh berubah menjadi ancaman dunia sebenar apabila disertai penghinaan berulang, provokasi dan tekanan rakan sebaya.
Menurutnya, penyebaran gambar atau video memalukan serta ugutan dalam talian boleh meningkatkan kemarahan sehingga pihak terbabit mahu menyelesaikan pertelingkahan secara bersemuka.
“Konflik boleh berpindah daripada alam maya ke sekolah. Pertengkaran di TikTok, WhatsApp, Instagram atau permainan dalam talian boleh diteruskan apabila pihak-pihak bertemu di sekolah,” katanya.

Yusmar berkata tahap risiko menjadi lebih serius apabila ugutan mula menyebut lokasi atau masa untuk bertemu, mengajak rakan menyertai konflik atau menyatakan hasrat untuk membalas.
Pendedahan maklumat peribadi dan ajakan kepada pihak lain untuk menyerang seseorang juga tidak boleh dianggap sekadar gurauan.
Beliau menegaskan bukan semua buli siber berakhir dengan keganasan fizikal, tetapi perubahan bentuk ancaman perlu dikesan sebelum keadaan memuncak.
Mangsa disaran tidak membalas dengan kekerasan, sebaliknya menyimpan mesej, tangkap layar, gambar atau bukti lain sebelum membuat laporan.
Maklumat boleh disampaikan kepada ibu bapa, guru kelas, guru disiplin, kaunselor atau pihak sekolah, manakala ancaman fizikal dan senjata perlu segera dirujuk kepada polis.
Pelajar atau orang awam yang mengetahui kanak-kanak berada dalam bahaya turut boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999.
“Satu laporan awal boleh membantu pihak sekolah dan polis mengenal pasti risiko, melindungi mangsa dan menghalang kejadian daripada berulang,” katanya.






