Empat premis dikompaun, gagal pamer tanda harga antara kesalahan - KPDN

8 Sep 2026, 3:32 AM
Empat premis dikompaun, gagal pamer tanda harga antara kesalahan - KPDN

SHAH ALAM, 8 SEPT: Empat premis perniagaan di sekitar Shah Alam dan Puchong dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dalam pemeriksaan pematuhan, semalam.

Menurut KPDN Selangor menerusi hantaran di Facebook, pemeriksaan itu meliputi aspek pelabelan dan paparan tanda harga serta pematuhan terhadap akta dan peraturan berkaitan.

“Sepanjang pemeriksaan dilakukan, sebanyak empat tindakan kompaun serta-merta di tempat kejadian telah dilakukan atas kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Katanya ketika dihubungi, antara kesalahan yang dikesan di premis perniagaan sekitar Seksyen U20 Shah Alam, Puchong Jaya dan Kampung Melayu Subang ialah kegagalan mempamerkan tanda harga bagi barangan seperti kuih-muih dan minuman.

KPDN Selangor menjalankan pemeriksaan premis perniagaan bagi memastikan pematuhan terhadap aspek pelabelan dan paparan tanda harga serta peraturan berkaitan di sekitar Shah Alam dan Puchong, semalam. Foto Facebook KPDN Selangor

Dalam operasi sama, KPDN Selangor turut memantau harga maksimum pelitup muka di pasaran serta mendapatkan maklumat harga terkini bagi beberapa jenis pelitup muka susulan peningkatan permintaan pelanggan akibat perubahan cuaca di Malaysia.

“Pasukan turut menjalankan pemeriksaan dan siasatan terhadap beberapa aduan yang diterima daripada orang awam melalui rangkaian sistem aduan KPDN khususnya berkaitan isu tiada tanda harga pada barangan yang dijual serta pematuhan perundangan yang dikuatkuasakan,” jelasnya.

KPDN Selangor turut mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga pelitup muka sewenang-wenangnya susulan peningkatan permintaan terhadap barangan berkenaan.

“Peniaga telah diberi peringatan untuk tidak menaikkan harga topeng muka sewenang-wenangnya kepada pelanggan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tegasnya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.