SHAH ALAM, 7 SEPT: Polis mengesahkan penemuan satu mayat lelaki yang telah reput di kawasan semak berhampiran Jalan Persiaran Balairong U8, Bukit Jelutong di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata maklumat berkenaan diterima menerusi laporan orang awam kira-kira 2.45 petang, sebelum pasukan polis ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
"Hasil siasatan awal mendapati identiti si mati gagal dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersamanya di tempat kejadian.
"Pemeriksaan ke atas fizikal badan si mati juga tidak dapat dijalankan memandangkan keadaannya yang telah reput, dipercayai telah meninggal dunia lebih seminggu berdasarkan keadaan mayat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarudin berkata mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam bagi proses bedah siasat yang dijadualkan pada 2 petang esok.
Sehubungan dengan itu, Sarudin berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim menerusi talian 016-953 7372 bagi membantu siasatan.







