SHAH ALAM, 24 NOV: Hujan berterusan yang melanda Selangor sejak awal pagi tadi menyebabkan kawasan sekitar Bukit Jelutong dinaiki air.
PLUS dalam hantar di media sosialnya memaklumkan banjir kilat dilaporkan berlaku di KM 9.1 (Arah Selatan) di antara laluan Subang Ke Shah Alam serta laluan sebelum masuk Plaza Tol Shah Alam dari Lebuhraya Guthrie menghala ke Shah Alam.
Tinjauan Media Selangor mendapati setakat jam 11 pagi tadi, berlaku kesesakan teruk di kawasan berkenaan.

Perkongsian oleh orang awam juga menunjukkan kawasan TTDI Jaya turut dinaiki air dengan kawasan kedai dilihat terjejas operasinya.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam perkembangan langsung di media sosialnya turut memaklumkan yang Skuad Tindakan Khas (Pantas) telah digerakkan ke beberapa kawasan seluruh Shah Alam bagi membantu penduduk terjejas dan memantau paras air.
Setakat jam 10.15 pagi tadi, sembilan stesen di sungai-sungai seluruh Selangor merekodkan tahap bahaya dengan empat stesen berada di Klang.





