SERDANG, 7 SEPT: Universiti Putra Malaysia (UPM) meneroka pembangunan teknologi kawalan tikus dan haiwan perosak untuk membantu meningkatkan hasil sawah menerusi kerjasama strategik dengan pihak industri.
Pengarah Putra Science Park UPM, Prof Dr Samilah Roslan berkata teknologi berkenaan akan digabungkan dengan kepakaran serta teknologi sedia ada UPM sebelum diuji kesesuaiannya dalam ekosistem sawah.
Menurutnya, pembangunan teknologi itu bukan sahaja berpotensi membantu sektor pertanian, malah boleh diperluas untuk kegunaan domestik dan premis perniagaan seperti restoran.

“Kerjasama ini masih dalam fasa penyelidikan bagi memastikan teknologi yang dibangunkan bersesuaian dengan ekosistem serta memenuhi piawaian yang ditetapkan.
“Kita juga akan meneroka pelbagai kerjasama dengan syarikat dan agensi lain di pelbagai peringkat supaya usaha pengkomersialan dapat direalisasikan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jalinan Strategik Penyelidikan, Pembangunan (R&D) dan Pengkomersialan Teknologi di UPM, di sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah Alhaj.

Pada majlis sama, Baginda turut berkenan menyaksikan pertukaran Surat Hasrat (Letter of Intent) antara BioFuture Lab HK Limited yang diwakili Luby Chun YC dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Dr Zamberi Sekawi.
Sementara itu, Pengarah BioFuture Lab HK Limited, Luby Chun YC berkata kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen pihaknya untuk meneroka peluang aplikasi teknologi dalam industri.
Menurutnya, penglibatan pihak industri penting bagi memastikan inovasi yang dibangunkan dapat disesuaikan dengan keperluan sebenar pasaran sebelum diperluas untuk kegunaan masyarakat.
“Kerjasama ini juga memberi peluang kepada pihak industri memahami kepakaran dan keupayaan yang ada di UPM selain berkongsi teknologi serta aspirasi syarikat untuk pasaran Malaysia.
“Penglibatan industri penting supaya teknologi yang dibangunkan dapat disesuaikan dengan keperluan sebenar pasaran sebelum diperluas untuk kegunaan masyarakat,” katanya.









