PUTRAJAYA, 7 SEPT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyediakan laporan lengkap berhubung kematian seorang penuntut ketika menyertai acara duathlon dalam Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di Pahang, Jumaat lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata laporan berkenaan perlu merangkumi punca kejadian serta tindakan susulan yang diambil, lapor Berita Harian.
Menurutnya, berdasarkan laporan awal yang diterima, kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan suhu dan haba melampau ketika latihan berlangsung.
"Latihan Kesatria adalah program sedia ada yang turut dilaksanakan di universiti lain dan lazimnya membabitkan latihan intensif," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada Pelajar Terbaik STPM 2025 di kementeriannya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian penuntut UiTM, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, yang meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai acara duathlon dalam program KKEC, Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, lapan lagi peserta turut mengalami kesukaran bernafas dan menerima rawatan di hospital.
Dua peserta dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, manakala enam lagi menerima rawatan di Hospital Jengka dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sebelum ini, media melaporkan sembilan penuntut, terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita, mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai program berkenaan di kampus UiTM Jengka, Maran.
Zambry turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penuntut yang meninggal dunia serta mendoakan peserta yang masih menerima rawatan segera pulih.
"Kita doakan supaya keadaan mereka kembali pulih dan mereka dapat meneruskan pengajian," katanya.
Beliau berkata KPT memandang serius aspek keselamatan dan kebajikan pelajar yang menyertai program seumpama itu.
Katanya, kejadian berkenaan perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan langkah sewajarnya diambil dan insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.
Sementara itu, mengenai kesan jerebu terhadap institusi pendidikan tinggi, Zambry berkata setakat ini tiada institusi pengajian tinggi terjejas akibat keadaan berkenaan.
Beliau berkata institusi pendidikan tinggi di Sarawak, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tiga politeknik dan beberapa kolej komuniti, turut mengambil langkah sewajarnya susulan keadaan jerebu di negeri itu.
"Kalau mereka tidak dapat pergi ke bilik kuliah, maka kita buat secara dalam talian," katanya sambil menjelaskan pendekatan pembelajaran lebih anjal akan digunakan sekiranya jerebu menjejaskan kehadiran pelajar ke kuliah.







