KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Pengembalian kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) kepada 300 liter mulai hari ini memberi ruang tambahan kepada isi rumah untuk mengurus kos pengangkutan, khususnya bagi mereka yang sangat bergantung kepada kenderaan persendirian.
Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Herniza Roxanne Marcus, berkata manfaatnya dijangka lebih ketara kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40) yang mempunyai keperluan perjalanan tinggi kerana perbelanjaan bahan api mengambil bahagian lebih besar daripada pendapatan boleh guna mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya kelmarin mengumumkan kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, yang akan memanfaatkan lebih 16 juta pengguna RON95 bersubsidi.
Selain itu, Anwar berkata lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut akan menerima BUDI Diesel hingga 400 liter sebulan, juga berkuat kuasa hari ini.
Herniza berkata, walaupun kesan pengembalian kuota BUDI95 itu lebih bersifat sederhana dan tidak semestinya membawa kepada penurunan kadar inflasi secara langsung, langkah berkenaan boleh membantu mengehadkan tekanan kos pengangkutan dan mengurangkan risiko kesan limpahan terhadap harga barangan dan perkhidmatan lain.
"Keputusan ini dilihat sebagai satu bentuk pengimbangan antara kemampuan fiskal kerajaan dengan keperluan melindungi kebajikan dan kuasa beli rakyat, dan bukan semestinya petunjuk bahawa kedudukan fiskal kerajaan kini jauh lebih selesa.
"Pengurangan kelayakan sebelum ini dibuat dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan terhadap pasaran tenaga global. Apabila risiko dan keadaan pasaran berubah, kerajaan mempunyai ruang untuk menilai semula tahap subsidi berdasarkan kos semasa, corak penggunaan sebenar serta kesannya terhadap isi rumah," katanya.







