SHAH ALAM, 7 SEPT: Beberapa kawasan sekitar Shah Alam mengalami gangguan bekalan elektrik awal hari ini, menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB).
TNB CareLine menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pasukan teknikal sedang menjalankan kerja pembaikan bagi memulihkan bekalan elektrik.
“Beberapa kawasan sekitar Shah Alam kini mengalami gangguan bekalan elektrik. Pasukan teknikal kami kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja pembaikan bagi memulihkan bekalan elektrik.
“Kami amat menghargai kesabaran anda dan memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, TNB tidak mendedahkan jumlah kawasan yang terjejas atau lokasi khusus yang mengalami gangguan berkenaan.
Semakan dengan TNB CareLine mendapati pihaknya menerima ratusan aduan berhubung gangguan bekalan elektrik di Shah Alam awal hari ini.
TNB turut mengingatkan pelanggan yang terjejas supaya berhati-hati ketika mengendalikan peralatan elektrik semasa bekalan terputus.
“Berhati-hati ketika mengendalikan peralatan elektrik, khususnya semasa gangguan bekalan elektrik kerana bekalan mungkin dipulihkan pada bila-bila masa,” katanya.







