Jerebu: Selangor sedia bekal pelitup muka di kawasan IPU tinggi

6 Sep 2026, 12:00 PM
Jerebu: Selangor sedia bekal pelitup muka di kawasan IPU tinggi
Jerebu: Selangor sedia bekal pelitup muka di kawasan IPU tinggi
Jerebu: Selangor sedia bekal pelitup muka di kawasan IPU tinggi
Jerebu: Selangor sedia bekal pelitup muka di kawasan IPU tinggi

SHAH ALAM, 6 SEPT: Kerajaan Negeri bersedia menyalurkan bekalan pelitup muka ke kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi sebagai langkah perlindungan tambahan susulan keadaan jerebu.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata bekalan itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk diedarkan kepada penjawat awam dan orang ramai, khususnya golongan yang memerlukan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

“Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit jantung dan penyakit berkaitan sistem pernafasan dinasihatkan supaya mengurangkan pendedahan kepada jerebu dengan mengehadkan aktiviti fizikal dan aktiviti luar.

“Orang ramai juga dinasihatkan berada di dalam bangunan sekiranya keadaan kualiti udara tidak sihat dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU di kawasan masing-masing. Sekiranya perlu berada di luar, penggunaan pelitup muka yang sesuai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengedaran pelitup muka akan diberi keutamaan di kawasan yang merekodkan bacaan IPU tinggi di Selangor, selain mengambil kira keperluan golongan berisiko.

Bagi sektor pendidikan pula, Jamaliah berkata sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak perlu mematuhi ketetapan berkuat kuasa berdasarkan bacaan IPU semasa.

“Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, penutupan sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak akan dilaksanakan mengikut ketetapan pihak berkuasa.

“Jabatan Pendidikan Negeri Selangor akan terus memantau bacaan IPU di lokasi sekolah dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan tahap pencemaran serta arahan yang ditetapkan.

“Pihak sekolah juga diminta memastikan keselamatan dan kesihatan murid sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh jerebu,” katanya.

Sebahagian daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, memakai topeng hidung dan mulut sebagai langkah keselamatan ekoran keadaan jerebu pada tahap tidak sihat pada 12 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus mendapatkan maklumat teknikal dan perkembangan terkini daripada agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi menentukan tindakan bersesuaian sekiranya kualiti udara terus merosot.

Jamaliah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh memburukkan lagi keadaan, termasuk pembakaran terbuka.

“Pemantauan dan penguatkuasaan khususnya bagi mencegah sebarang aktiviti pembakaran terbuka. Pembakaran terbuka adalah dilarang. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Sebarang aktiviti pembakaran terbuka boleh dilaporkan kepada JAS menerusi Hotline JAS di 1-800-88-2727 atau aplikasi eAduan JAS.

Bagi kejadian kebakaran yang memerlukan tindakan segera, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau 1-800-88-994 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sementara itu, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), setakat 4 petang, sebanyak 35 kawasan di seluruh negara merekodkan IPU pada tahap tidak sihat, manakala 27 kawasan berada pada tahap sederhana dan empat kawasan pada tahap baik.

Sarawak kekal menjadi negeri paling terjejas dengan 11 kawasan merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Samalaju (196), Samarahan (196), Kuching (191), Bintulu (190), Mukah (188), Sarikei (185), IPD Serian (182), ILP Miri (176), Sibu (174), Miri (170) dan Limbang (157).

Kapit pula menjadi satu-satunya stesen di Sarawak yang merekodkan bacaan pada tahap sederhana dengan IPU 90.

Di Selangor, enam kawasan turut merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Johan Setia (181), Shah Alam (168), Kuala Selangor (158), Petaling Jaya (157), Klang (156) dan Banting (155).

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Batu Muda (164) dan Cheras (162) di Kuala Lumpur, Putrajaya (162) serta Labuan (157).

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.