HULU SELANGOR, 25 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM45,000 untuk pembaikan infrastruktur sembilan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sekitar daerah ini.
Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan RM5,000 bagi setiap sekolah itu membantu pembaikan kualiti infrastruktur sekali gus mewujudkan persekitaran kondusif untuk pembelajaran murid.
“Pasti ada orang akan mencerca atau menghina (kata) program ini sebab pilihan raya. Tapi program ini tiap-tiap tahun kita laksanakan. Ini bagi meningkatkan keupayaan sekolah kerana pendidikan terbaik adalah satu perkara yang amat kita titikberatkan.
“Sejak 2008 hingga kini usaha kita memastikan semua rakyat yang tinggal dalam negara dan Selangor khususnya mendapat peluang sama adil dan mempunyai peluang untuk memajukan diri kita bersama-sama,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berucap pada Program Penyerahan Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor di Dewan Orang Ramai Batang Kali di sini, hari ini.
Sekolah terlibat adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batang Kali, SJKT Ladang Changkat Asa, SJKT Ladang Escot dan SJKT Ladang Kuala Kubu Bharu.
Selain itu, SJKT Ladang Kerling, SJKT Ladang Kalumpang, SJKT Ladang Lima Belas, SJKT Ladang Sungai Choh dan SJKT Ladang Bukit Beruntung.
Sementara itu Guru Penolong Kanan Pentadbiran SJKT Ladang Kalumpang S Velan berkata dana berkenaan akan digunakan untuk pembaikan longkang dan laluan pelajar yang sudah rosak dan boleh membahayakan keselamatan terutama ketika cuaca hujan.
“Sudah pasti peruntukan ini sangat membantu untuk kami baik pulih kemudahan yang mendesak untuk keselamatan kira-kira 80 pelajar sekolah ini,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu Amirudin turut menyampaikan baucar sumbangan subsidi tambang bas sekolah kepada 324 pelajar SJKT sekitar Hulu Selangor melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM97,200.
Amirudin turut menyempurnakan simbolik penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor berjumlah RM133,400 untuk manfaat 26 penerima daerah Hulu Selangor yang menerima mesin atau peralatan untuk perniagaan masing-masing.




