SHAH ALAM, 5 SEPT: Sebanyak 29 kompaun dan 17 notis arahan dikeluarkan terhadap premis yang melanggar peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menerusi Ops Gempur Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
JAS Selangor memaklumkan sebanyak 32 premis diperiksa dalam operasi berkenaan, dengan 18 daripadanya didapati tidak mematuhi akta itu atas pelbagai kesalahan.
“OPS Gempur bertujuan memastikan pematuhan premis terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Perintah dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
“Selain notis dan kompaun, 32 field citation serta empat kertas siasatan dikeluarkan terhadap premis yang didapati melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya menerusi Facebook.
JAS Selangor turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan di bawahnya.
“Ketidakpatuhan boleh menyebabkan mana-mana pihak disabitkan dan dibawa ke mahkamah.
“JAS Selangor akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti yang berpotensi menyebabkan pencemaran alam sekitar dapat dikawal dan dibendung,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar kepada JAS menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Sistem e-Aduan JAS.







