ad

Padah proses buangan terjadual tanpa lesen, kilang kitar semula didenda RM140,000

6 Nov 2025, 3:49 AM
Padah proses buangan terjadual tanpa lesen, kilang kitar semula didenda RM140,000
Padah proses buangan terjadual tanpa lesen, kilang kitar semula didenda RM140,000

SHAH ALAM, 6 NOV: Sebuah kilang kitar semula sekerap plastik di Pelabuhan Klang dikenakan denda RM140,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah memproses buangan terjadual tanpa lesen dan kelulusan bertulis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Hakim Mahkamah Sesyen 4 Klang, Sharifah Hascindie Syed Omar menjatuhkan hukuman itu selepas wakil syarikat mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Pengarah JAS Selangor Dato’ Wandi Yadzid Yaakob berkata keputusan mahkamah itu menunjukkan tekad pihak berkuasa dalam menegakkan undang-undang dan memastikan pengusaha industri tidak sewenang-wenangnya mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Mahkamah perlu menghantar mesej jelas agar setiap syarikat menghormati undang-undang dan tidak merendahkan kelestarian alam sekitar semata-mata demi keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak pendakwa JAS turut memohon hukuman setimpal dijatuhkan sebagai pengajaran kepada industri lain agar tidak beroperasi melebihi skop kelulusan yang diberikan.

Siasatan JAS mendapati, pemeriksaan di premis Jalan Lengkungan Sultan Hishamuddin, Selat Klang Utara pada 15 November 2022 dilakukan susulan aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.

Pemeriksaan menemui pelbagai jenis sekerap plastik, dua mesin ‘extrusion’, serta buangan terjadual termasuk sisa elektrik, elektronik dan bateri asid plumbum yang disimpan di premis tanpa kebenaran.

Walaupun syarikat berkenaan memiliki kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar bertarikh 30 Oktober 2020 untuk aktiviti kitar semula sekerap plastik, siasatan mendapati mereka telah melanggar syarat kelulusan dengan turut memproses buangan terjadual.

Mahkamah mengenakan hukuman berdasarkan kesalahan berikut:

  • Dua pertuduhan di bawah Seksyen 34B(1)(a) – denda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun

  • Dua pertuduhan di bawah Seksyen 18(1) – denda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun

  • Dua pertuduhan di bawah Seksyen 41 dibaca bersama Seksyen 19(a) – denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun bagi setiap kesalahan.

Wandi Yadzid menegaskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan semua premis industri mematuhi peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“JAS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis yang melanggar undang-undang. Ketidakpatuhan boleh membawa kepada pendakwaan di mahkamah,” tegas Dato’ Wandi.

Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pencemaran melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau portal eaduan.doe.gov.my