SHAH ALAM, 31 JAN: Sebuah premis sekerap sisa elektronik (e-waste) di Klang disita selepas didapati beroperasi tanpa lesen sah serta melanggar syarat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memaklumkan, tindakan itu diambil hasil operasi bersepadu yang dijalankan semalam melibatkan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa MBDK bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
“Hasil pemeriksaan mendapati lesen sementara industri premis berkenaan telah tamat tempoh sejak 2 September 2025.
“Premis itu turut digunakan sebagai pusat membaiki dan menyimpan komputer riba terpakai serta bahan e-sisa dengan keluasan melebihi 500 meter persegi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MBDK, pengusaha premis berkenaan juga didapati gagal mematuhi syarat ulasan EIA yang telah ditetapkan oleh JAS Selangor.
Susulan itu, JAS Selangor menyita kawasan kerja serta stor penyimpanan bagi menghentikan serta-merta aktiviti industri di premis berkenaan, selain mengambil sampel barangan elektronik untuk siasatan lanjut.
MBDK menegaskan, pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan premis terbabit tidak beroperasi semula sehingga semua syarat pelesenan serta peruntukan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.


