SHAH ALAM, 5 SEPT: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memperketat pemantauan kerja pembersihan awam bagi memastikan perkhidmatan yang dilaksanakan di lapangan mematuhi skop ditetapkan.
Menurut MPHS, langkah itu dilaksanakan menerusi Pengauditan Pemantauan Kerja-kerja Pembersihan Awam yang bertujuan menilai tahap pelaksanaan serta keberkesanan kerja pembersihan di kawasan terbabit.
“Pemeriksaan telah dijalankan bagi menilai tahap pelaksanaan kerja, pematuhan terhadap skop perkhidmatan serta keberkesanan pemantauan yang dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkaitan,” katanya menerusi Facebook.
Lawatan tapak oleh Bahagian Audit Dalam MPHS bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) serta wakil KDEB itu melibatkan beberapa kawasan termasuk Batang Kali, Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung.
MPHS berkata pemeriksaan berkenaan turut membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat secara langsung di lapangan serta membincangkan isu pelaksanaan dan pemantauan kerja pembersihan bersama pihak berkaitan.
Kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan perkhidmatan pembersihan awam dilaksanakan dengan lebih berkesan, teratur dan berkualiti demi mewujudkan persekitaran yang bersih, selesa dan kondusif di Hulu Selangor.







