Ops Bangkit: 191 notis dikeluarkan terhadap individu buang sampah di tempat awam

5 Sep 2026, 4:30 AM
Ops Bangkit: 191 notis dikeluarkan terhadap individu buang sampah di tempat awam

PUTRAJAYA, 5 SEPT: Sebanyak 191 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan sehingga 31 Ogos lepas terhadap individu yang dikesan membuang sampah kecil di tempat awam menerusi pelaksanaan Ops Bangkit sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi bersepadu bersama-sama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dilaksanakan selama lapan hari dari 24 hingga 31 Ogos lepas bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan kebersihan di lokasi tumpuan awam.

"Operasi ini merupakan sebahagian daripada langkah proaktif KPKT untuk memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa terpelihara, di samping meningkatkan tahap pematuhan dan kesedaran masyarakat agar tidak melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.

"Pemantauan turut dipertingkat pada malam 30 Ogos 2026 bersempena Sambutan Ambang Hari Kebangsaan," menurut KPKT.

Sekiranya disabitkan kesalahan, individu yang menerima notis NPK boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan sebagai hukuman tambahan, diperintahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 12 jam di bawah Seksyen 77B Akta yang sama.

KPKT memberitahu sebanyak 234 anggota penguat kuasa SWCorp telah digerakkan bagi melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di 56 lokasi melibatkan tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Dalam kenyataan sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan bukan semata-mata untuk menghukum, sebaliknya untuk mendidik dan membentuk sikap masyarakat agar lebih bertanggungjawab.

"Kebersihan negara bermula daripada disiplin setiap individu. Jangan jadikan membuang sampah sesuka hati sebagai satu kebiasaan kerana menjaga kebersihan ruang awam adalah tanggungjawab kita bersama," katanya.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas, konsisten dan berterusan bagi meningkatkan pematuhan terhadap perundangan, di samping membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.

"KPKT menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai sebahagian daripada budaya dan identiti nasional," katanya.

Nga berkata tanggungjawab memastikan negara kekal bersih tidak terletak pada bahu pihak berkuasa atau pekerja pembersihan semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat dalam merealisasikan Malaysia yang bersih, indah dan sejahtera.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.