JOHOR BAHRU, 16 MEI: Seramai 6,680 individu di seluruh negara termasuk 15 remaja dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan kerana membuang sampah kecil di tempat awam sejak Januari lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata jumlah itu termasuk 1,866 warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Singapura, China dan Bangladesh.
“Setakat ini, 289 orang (daripada jumlah keseluruhan) telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan 158 selesai menjalani Program Khidmat Masyarakat (PKM),” katanya.
Aiman Athirah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sinergi Kasih MADANI Komuniti Lestari dan Selamat di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed.
Aiman Athirah berkata remaja berusia 16 hingga 18 tahun dengan kebanyakan mereka melakukan kesalahan di Kuala Lumpur, akan menjalani hukuman sama termasuk PKM.
Bagaimanapun PKM perlu dilaksanakan dengan mengambil pendekatan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata SWCorp telah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tujuan hebahan dan memberikan kesedaran mengenai penguatkuasaan kesalahan tersebut kepada pelajar sekolah.
Aiman Athirah berkata SWCorp komited dalam menjalankan tugas dan tidak melakukan pengecualian terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang mula berkuat kuasa 1 Januari.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini memaklumkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM10,000 dan PKM hingga 12 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan.







