RS-2: Kos pendidikan, sara hidup antara isu perlu ditangani

2 Sep 2026, 5:00 AM
RS-2: Kos pendidikan, sara hidup antara isu perlu ditangani
RS-2: Kos pendidikan, sara hidup antara isu perlu ditangani

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerajaan Selangor perlu memberi perhatian lebih serius terhadap isu kos penjagaan anak, pendidikan dan sara hidup selain menyediakan persekitaran selesa serta pengangkutan awam yang baik, kata Profesor Ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Dr Wong Chin Yoong.

Beliau berkata, bajet tahunan Kerajaan Negeri pada masa depan perlu disusun dari segi peruntukan, insentif dan dasar cukai selaras dengan hala tuju Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi memenuhi keperluan sebenar rakyat.

"Contohnya, dari segi keselesaan tempat tinggal, ia bukan sekadar melihat kepada bekalan rumah yang mencukupi. Selain Johor, Selangor juga antara negeri yang mempunyai masalah rumah lelong yang agak serius.

"Jadi, isu bekalan rumah bukanlah perkara paling utama buat masa ini," katanya dalam temu bual dengan Media Selangor.

Menurutnya, pengangkutan awam merupakan antara alternatif penting untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Selangor, namun bidang berkenaan berada di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Negeri masih boleh memperluas insentif dalam bidang pendidikan dan penjagaan anak mengikut bidang kuasanya, termasuk membantu kos berkaitan sejak kelahiran sehingga peringkat persekolahan.

"Dari kelahiran anak hingga ke peringkat sekolah rendah dan menengah, bolehkah kerajaan negeri memberikan bantuan kos pendidikan dan penjagaan yang lebih besar? Ini adalah hala tuju yang wajar diberi perhatian," katanya.

Dr Wong berkata, Selangor mempunyai ekonomi yang rancak dengan kos sara hidup yang agak tinggi, menyebabkan keluarga bukan sahaja menanggung kos membesarkan anak, malah keperluan ibu bapa dan warga emas.

Katanya, keperluan golongan pesara dan warga emas juga wajar diberi perhatian dalam RS-2, termasuk penyediaan lebih banyak ruang aktiviti serta kemudahan yang menyokong kehidupan mereka.

"Saya tidak bermaksud untuk membina rumah penjagaan warga emas, tetapi untuk menyediakan lebih banyak ruang aktiviti untuk pesara.

"Contohnya, menggabungkan kemudahan kesihatan, perubatan dan awam bagi mewujudkan ruang hidup yang menyokong keperluan warga emas supaya mereka merasakan sokongan daripada masyarakat," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah berdasarkan keperluan rakyat pada setiap peringkat kehidupan bagi terus meningkatkan kualiti hidup.

Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika membentangkan RS-2 pada 7 Ogos lalu berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan 25 inisiatif merangkumi lima bidang, termasuk mewujudkan persekitaran hidup yang selesa, menambah baik kesihatan awam dan memperluas perumahan mampu milik.

Menurutnya, kos sara hidup merupakan antara cabaran terbesar yang dekat dengan rakyat.

Justeru, Misi Ketiga RS-2 memberi tumpuan kepada pembangunan bandar yang sesuai didiami menerusi 25 inisiatif bagi mewujudkan persekitaran lebih selesa, di samping memperkukuh pembangunan komuniti dan kebajikan rakyat.

"Ini melibatkan penciptaan persekitaran hidup yang selesa, pembangunan perumahan mampu milik, peningkatan kesihatan awam, promosi gaya hidup aktif dalam kalangan belia termasuk sukan, serta pemeliharaan budaya dan warisan unik Selangor yang harmoni dan pelbagai," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.