Pendidikan bukan sekadar menjadi pandai

4 Sep 2026, 3:00 AM
Pendidikan bukan sekadar menjadi pandai

Apabila berbicara tentang pendidikan, kita sering menyamakan pendidikan dengan pelajaran. Kita menyangka bahawa seseorang yang banyak membaca buku, memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang, memiliki sijil yang tinggi atau menguasai pelbagai bidang ilmu, secara automatik merupakan seorang yang berpendidikan. Sedangkan hakikatnya, pelajaran dan pendidikan ialah dua perkara yang berbeza.

Pelajaran berkaitan dengan proses memperoleh maklumat, pengetahuan dan kemahiran. Pendidikan pula mempunyai ruang lingkup yang lebih luas. Pendidikan bukan sekadar menjadikan seseorang tahu tentang sesuatu, tetapi berusaha menjadikan seseorang itu baik dalam menggunakan apa yang diketahuinya.

Dengan kata lain, pelajaran mengisi fikiran, sedangkan pendidikan membentuk keperibadian. Pelajaran menambah apa yang kita tahu; pendidikan menentukan bagaimana pengetahuan itu membentuk diri kita dan bagaimana pengetahuan tersebut digunakan dalam kehidupan.

Seseorang mungkin mempunyai pelajaran yang tinggi, tetapi belum tentu mempunyai pendidikan yang tinggi. Dia mungkin mengetahui banyak perkara tentang kesopanan, tetapi masih bersikap kasar. Dia mungkin memahami tentang amanah, tetapi tetap mengkhianati kepercayaan.

Dia mungkin mempelajari tentang keadilan, tetapi berlaku zalim apabila mempunyai kuasa. Dia mungkin mampu menghuraikan tentang akhlak dengan begitu baik di dalam kelas, tetapi gagal mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

Di sinilah kita perlu memahami perbezaan antara mengetahui sesuatu dengan menjadi seseorang.

Pelajaran memberikan pengetahuan tentang apa yang benar, baik dan berguna. Pendidikan pula berusaha membentuk seseorang supaya mencintai kebenaran, memilih kebaikan dan menggunakan apa yang dimilikinya untuk sesuatu yang berguna.

Hal ini sebenarnya sangat jelas dalam al-Quran. Ketika Allah SWT menjelaskan tugas Rasulullah SAW, Allah berfirman:

“Dialah yang mengutuskan dalam kalangan orang yang ummi itu seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menyucikan mereka, serta mengajarkan mereka Kitab dan hikmah.” (Surah al-Jumu‘ah, 62:2)

Ayat ini sangat menarik. Dalam menjelaskan misi Rasulullah SAW, Allah tidak menyebut tentang pengajaran sahaja. Allah menyebut “yu‘allimuhum” (mengajarkan mereka), tetapi sebelum itu Allah menyebut “yuzakkihim” (menyucikan mereka)

Pelajar membuat persembahan dalam segmen Human Graphic ketika sesi latihan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pada 24 Ogos 2026. Foto Facebook BERNAMA

Ini memberikan satu gambaran besar tentang pendidikan dalam Islam. Iaitu, manusia bukan hanya perlu diajar, tetapi juga perlu dibentuk. Bukan hanya mindanya yang perlu diisi, tetapi jiwanya juga perlu dididik. Bukan hanya pengetahuannya yang perlu ditambah, tetapi akhlaknya juga perlu dibina.

Tidak bentuk akhlak

Bayangkan seorang manusia yang mempunyai kecerdasan luar biasa tetapi tidak mempunyai akhlak. Dia mungkin mampu menghasilkan teknologi yang hebat, tetapi teknologi itu boleh digunakan untuk menipu manusia, merosakkan kehidupan atau memperkayakan dirinya dengan mengorbankan orang lain.

Dia mungkin seorang pakar ekonomi, tetapi menggunakan kepakarannya untuk mengeksploitasi manusia. Dia mungkin seorang ahli politik yang sangat bijak, tetapi menggunakan kebijaksanaannya untuk mempertahankan kepentingan diri. Dia mungkin seorang ilmuwan yang sangat hebat, tetapi ilmu yang dimilikinya menjadikannya sombong dan merendahkan orang lain.

Masalahnya bukan kerana dia tidak berilmu. Masalahnya ialah pengetahuan tidak berjaya membentuk akhlaknya. Sebab itu pendidikan diperlukan di samping pelajaran.

Pelajaran menjawab persoalan, “Apa yang saya tahu?” Pendidikan membawa kita kepada persoalan yang lebih besar: “Apa yang akan saya lakukan dengan apa yang saya tahu?”

Seorang pelajar mungkin tahu bahawa menipu itu salah. Itu pelajaran. Tetapi apabila dia memilih untuk tidak menipu walaupun tiada siapa yang melihat, di situlah pendidikan mula menunjukkan hasilnya.

Dia mungkin tahu bahawa menghormati guru ialah perkara yang baik. Itu pelajaran. Tetapi apabila dia benar-benar menghormati gurunya, menjaga adab ketika berbeza pandangan dan menghargai orang yang mengajarnya, di situlah pengetahuan telah berubah menjadi akhlak.

Apabila kita melihat al-Quran, kita akan mendapati bahawa konsep pendidikan tidak terpisah daripada pembinaan manusia. Allah SWT berfirman:

“Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang agung.” (Surah al-Qalam, 68:4)

Yang menariknya, ayat ini bukan sekadar memuji Nabi Muhammad SAW kerana banyaknya ilmu yang baginda miliki. Allah memuji baginda kerana akhlaknya. Bahkan, Nabi SAW sendiri menjelaskan misi kerasulannya dengan sabda:

“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.” (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

Ini menunjukkan bahawa akhlak bukan perkara sampingan dalam agama. Akhlak merupakan sebahagian daripada tujuan besar risalah Nabi Muhammad SAW.

Penolong Pengarah Seksyen Agihan dan Pembangunan, Nurhidayah Shaari beramah mesra bersama murid Tahun 4 semasa Program NutriSel sarapan percuma di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh pada 3 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Maka, apabila kita membicarakan pendidikan, kita tidak sepatutnya hanya bertanya berapa banyak ilmu yang berjaya dipindahkan daripada guru kepada murid. Kita juga perlu bertanya: Apakah yang berlaku kepada peribadi murid itu selepas menerima ilmu? Adakah dia menjadi lebih amanah? Lebih merendah diri? Lebih menghormati manusia? Lebih bertanggungjawab? Lebih mampu mengawal dirinya? Lebih takut melakukan kezaliman?

Jika ilmu bertambah tetapi kesombongan juga bertambah, ada sesuatu yang perlu kita fikirkan. Jika pengetahuan semakin luas tetapi akhlak semakin buruk, kita perlu bertanya apakah pendidikan kita telah mencapai matlamatnya.

Di sinilah kita boleh memahami bahawa pelajaran dan pendidikan sebenarnya bukan musuh antara satu sama lain. Kedua-duanya diperlukan. Kita memerlukan pelajaran kerana manusia perlu mengetahui. Kita memerlukan pendidikan kerana manusia perlu menjadi baik.

Pelajaran memberikan seseorang maklumat, sedangkan pendidikan membentuk sikap; pelajaran mengembangkan akal, sedangkan pendidikan membentuk jiwa; pelajaran memberikan kemahiran, sedangkan pendidikan memberikan arah; pelajaran menjadikan seseorang berkemampuan, sedangkan pendidikan memastikan kemampuan itu digunakan dengan penuh tanggungjawab.

Apabila kedua-duanya bergabung, barulah lahir sesuatu yang lebih sempurna, iaitu ilmu.

Maklumat sahaja belum tentu ilmu. Seseorang boleh menghafal ribuan fakta, tetapi fakta yang tersimpan di dalam kepala belum tentu mengubah dirinya. Pengetahuan menjadi ilmu apabila ia difahami, dihayati dan memberi kesan kepada cara seseorang berfikir, membuat keputusan dan bertindak.

Sebab itu al-Quran menghubungkan ilmu dengan perubahan diri. Dalam Surah al-Baqarah, Nabi Ibrahim AS berdoa agar Allah mengutus seorang Rasul yang antara tugasnya ialah membacakan ayat, mengajarkan kitab dan hikmah serta menyucikan manusia. Firman Allah:

“...dan menyucikan mereka serta mengajarkan mereka Kitab dan hikmah.” (Surah al-Baqarah, 2:129)

Perhatikan sekali lagi: mengajar dan menyucikan. Itulah keseimbangan yang kita perlukan.

Bukan sekadar tempat mengajar

Atas sebab itu, sekolah tidak seharusnya hanya menjadi tempat untuk mengejar keputusan peperiksaan. Universiti juga tidak seharusnya hanya menjadi tempat menghasilkan tenaga kerja.

Institusi pendidikan sepatutnya menjadi tempat manusia dibentuk. Guru bukan hanya penyampai maklumat. Guru ialah pendidik. Ibu bapa bukan hanya memastikan anak mendapat pelajaran.

Mereka juga bertanggungjawab membentuk akhlak anak-anak. Masyarakat pula merupakan ruang pendidikan yang sangat besar. Anak-anak belajar bukan sahaja daripada buku, tetapi daripada apa yang mereka lihat berlaku di sekeliling mereka.

Jika mereka melihat kejujuran dihormati, mereka belajar tentang kejujuran. Jika mereka melihat amanah dijunjung, mereka belajar tentang amanah. Jika mereka melihat orang yang berbeza pandangan masih boleh saling menghormati, mereka belajar tentang kematangan.

Sebaliknya, jika mereka melihat penipuan menjadi jalan mendapatkan kekayaan, kezaliman menjadi jalan mendapatkan kuasa dan kebohongan digunakan untuk mempertahankan diri, mereka juga sedang menerima pendidikan, tetapi pendidikan yang salah.

Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya pandai menjawab soalan peperiksaan tetapi gagal menjawab persoalan kehidupan. Kita tidak mahu melahirkan manusia yang tahu hukum tetapi tidak tahu berakhlak. Kita tidak mahu melahirkan orang yang hebat berbicara tentang kebenaran tetapi lemah mempertahankannya dalam kehidupan.

Kita mahu melahirkan manusia yang tahu, faham, menghayati dan berbuat. Sebab itu, ukuran kejayaan pendidikan bukan hanya berapa banyak sijil yang berjaya dikumpulkan, berapa tinggi keputusan peperiksaan atau berapa banyak maklumat yang mampu dihafal.

Ukuran yang lebih besar ialah, adakah ilmu itu menjadikan manusia lebih baik?

Jika pelajaran menambah pengetahuan tetapi pendidikan membina akhlak, maka kedua-duanya mesti berjalan bersama. Pelajaran tanpa pendidikan boleh melahirkan manusia yang pintar tetapi tidak semestinya bijaksana. Pendidikan tanpa pelajaran pula boleh melahirkan manusia yang baik niatnya tetapi mungkin terbatas keupayaannya untuk memahami dan menyelesaikan masalah.

Tetapi apabila pelajaran dan pendidikan bergabung, lahirlah manusia yang bukan sahaja tahu apa yang benar, tetapi juga mempunyai kekuatan moral untuk memilih dan mempertahankan kebenaran. Inilah manusia yang kita perlukan.

Manusia yang luas ilmunya, tetapi rendah hatinya. Manusia yang tinggi pelajarannya, tetapi tinggi juga akhlaknya. Manusia yang mampu menggunakan akalnya, tetapi tidak kehilangan hati nuraninya. Kerana akhirnya, pelajaran mengisi kepala, pendidikan membentuk jiwa, dan ilmu menyatukan kedua-duanya menjadi manusia.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.