SHAH ALAM, 3 SEPT: Anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang masih aktif akan dikecualikan daripada menduduki empat ujian dalam proses pemilihan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui latihan Pegawai Kadet Graduan, mulai tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengecualian itu selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025, lapor Berita Harian.
Menurutnya, empat ujian berkenaan ialah Ujian Pengetahuan Am, Ujian Kecerdasan Akal, Ujian Kepimpinan dan Merancang serta Ujian Pengucapan Awam.
"Mulai tahun ini, calon PALAPES yang masih aktif akan diberikan pengecualian daripada menduduki beberapa ujian tertentu ketika proses pemilihan.
"Pengecualian ini selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Sesi Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, jika pegawai berkenaan diserap sebagai anggota tetap ATM, tempoh perkhidmatan dan pangkat semasa turut akan diambil kira tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Katanya, langkah itu antara beberapa inisiatif Kementerian Pertahanan bagi memperluas peluang pegawai kadet PALAPES meneruskan kerjaya dalam ATM.
"Pegawai lepasan PALAPES juga boleh memohon Pertugasan Sepenuh Masa bagi mengisi perjawatan tertentu di unit, kapal, pangkalan dan formasi ATM," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kementerian sedang menjalankan kajian bagi menambah baik bayaran insentif kepada pegawai kadet PALAPES, termasuk elaun kehadiran latihan tempatan, bounti tahunan dan pemberian pakar.
Mohamed Khaled berkata, kementerian turut mencadangkan pindaan perundangan bagi membolehkan pegawai lepasan PALAPES yang tamat tempoh perkhidmatan tetapi masih berminat kembali berkhidmat dalam Angkatan Sukarela tanpa perlu ditauliahkan semula.
"Cadangan pindaan ini kini sedang menunggu kelulusan.
"Sekiranya diluluskan, pegawai berkenaan hanya perlu melalui proses melanjutkan tempoh tauliah selaras dengan Akta Angkatan Tentera 1972," katanya.
Beliau berkata, ATM turut meneliti cadangan memberi peluang kepada Pegawai Kadet PALAPES menjalani latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap bagi memberi pendedahan kepada persekitaran tugas sebenar.
Katanya, laluan pembangunan kerjaya dalam Angkatan Sukarela juga sedang diperkemas melalui penyesuaian tempoh kursus serta pembangunan Pendidikan Ketenteraan Profesional yang selari dengan konsep Angkatan Masa Hadapan.






