ad

Raja Muda Selangor berkenan sempurnakan pentauliahan 1,927 pegawai kadet Palapes

13 Sep 2025, 5:45 AM
Raja Muda Selangor berkenan sempurnakan pentauliahan 1,927 pegawai kadet Palapes
Raja Muda Selangor berkenan sempurnakan pentauliahan 1,927 pegawai kadet Palapes
Raja Muda Selangor berkenan sempurnakan pentauliahan 1,927 pegawai kadet Palapes
Raja Muda Selangor berkenan sempurnakan pentauliahan 1,927 pegawai kadet Palapes
Raja Muda Selangor berkenan sempurnakan pentauliahan 1,927 pegawai kadet Palapes
Raja Muda Selangor berkenan sempurnakan pentauliahan 1,927 pegawai kadet Palapes

SERDANG, 13 SEPT: Sebanyak 1,927 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) terdiri daripada 20 universiti awam (UA) seluruh negara ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat Leftenan Muda.

Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes UA ke-43 itu disempurnakan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Baginda turut berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada para pegawai yang terdiri daripada 1,098 Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW), 431 Pegawai Muda dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) serta 398 Pegawai Muda dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM), disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira.

Baginda dalam titahnya menekankan kejayaan pegawai kadet Palapes adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan ATM melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat yang menuntut kerjasama seluruh agensi kerajaan, swasta dan masyarakat dalam mempertahankan negara daripada ancaman semakin kompleks.

Baginda bertitah ATM kini sedang melaksanakan pelan transformasi dan pemodenan berperingkat berdasarkan konsep Angkatan Masa Hadapan yang bertujuan mewujudkan sebuah angkatan lebih bersepadu, tangkas dan berfokus dalam operasi pelbagai domain.

“Pembentukan Angkatan Masa Hadapan yang dirangka ATM memerlukan penyertaan dan penglibatan bakat serta kemahiran dalam pelbagai bidang yang boleh disumbangkan saudara dan saudari.

“Justeru, beta menyeru agar saudara dan saudari akan terus aktif dengan perkhidmatan angkatan sukarela yang ada di seluruh negara ataupun menyertai angkatan tetap setelah tamat pengajian,” titah baginda.

Baginda dalam titahnya menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pegawai kadet yang ditauliahkan, sambil mengingatkan kejayaan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab besar sebagai pemimpin muda masyarakat dan perwira simpanan negara.

“Dengan ilmu asas ketenteraan yang telah dipelajari sepanjang latihan, beta berharap saudara dan saudari akan menjadi warganegara yang berdisiplin, berjiwa kesatria serta cintakan tanah air yang berdaulat ini,” titah baginda.

Raja Muda Selangor turut menekankan sumpah taat setia yang diikrarkan hari ini sebagai janji suci kepada nusa dan bangsa, selain menyeru agar pegawai kadet terus menyumbang bakti serta menampilkan semangat patriotik di mana sahaja mereka berada.

Turut diadakan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat kepada 39 pegawai kadet terbaik bagi setiap perkhidmatan.

Terdahulu, baginda tiba kira-kira 9 pagi disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes UA itu adalah istiadat yang diadakan secara tahunan dan dianjurkan oleh UA di seluruh Malaysia mengikut penggiliran

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.