SHAH ALAM, 28 NOV: Bedah siasat kedua jasad pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan leher.
Perkara itu didedahkan peguam, Datuk Naran Singh, selepas mendapatkan laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya, terdapat beberapa kecederaan lain seperti melecet yang turut ditemukan pada jasad Allahyarham dalam proses bedah siasat pada 30 Ogos lalu, lapor Berita Harian.
"Pemeriksaan bersama gambar dan bahan patologi daripada bedah siasat pertama menunjukkan si mati mengalami kecederaan leher yang teruk ketika dia masih hidup.
"Terdapat kecederaan pada leher berganda dalam gambar bedah siasat pertama, walaupun secara amnya konsisten dengan prosedur trakeostomi tapi lebih banyak daripada jangkaan. Bagaimanapun ia tidak menunjukkan berlaku selepas kematian," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik HKL di sini, hari ini.
Turut hadir ibu Allahyarham Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 dan beberapa ahli keluarganya lain.
Naran berkata, keputusan bedah siasat membuktikan terdapatnya kecederaan yang menyebabkan kematian arwah, maka siasatan perlu dilakukan bagi mengesan pelaku.
Justeru, beliau meminta Kementerian Pertahanan dan polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut.
"Saya percaya mereka (polis) dah buat siasatan. Maklumat yang saya dapat daripada pegawai penyiasat, kertas siasatan sudah dirujuk dua kali kepada Jabatan Peguam Negara dan mereka tunggu keputusan bedah siasat ini.
"Memandangkan kita dah dapat laporan bedah siasat yang begitu lengkap iaitu lebih kurang 25 muka surat, kita harap tindakan segera diambil," katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu permohonan keluarga Allahyarham Syamsul Haris untuk mendapatkan laporan bedah siasat pertama hanya akan dipertimbangkan selepas dapatan mengenai bedah siasat kedua diperoleh.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, mewakili enam pihak selaku responden dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet mengesahkan laporan bedah siasatan pertama sudah tersedia, namun pihaknya belum menerimanya selain tidak mendapat arahan untuk menyerahkan kepada pemohon.
Mahkamah menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan permohonan bagi mendapatkan laporan bedah siasat berkenaan.
Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur pelatih Palapes itu digali semula, bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, 28 Julai lalu, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.



