SHAH ALAM, 30 OGOS: Proses bedah siasat kedua terhadap pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, menemukan kesan kecederaan mencurigakan yang memerlukan siasatan lanjut.
Proses bedah siasat yang dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur bermula jam 9 pagi hingga 4 petang selepas jasad penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih.
Peguam mewakili keluarga Allahyarham, Datuk Naran Singh Ara Singh, berkata pihaknya mengadakan perbincangan berkaitan imbasan tomografi berkomputer (CT) sebelum bedah siasat dilaksanakan.
“Setiap bahagian badan diperiksa teliti dan keputusan bedah siasat mendapati kecederaan mencurigakan di badan yang mungkin dan perlu siasatan lanjut.
“Kami memohon Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengambil tindakan segera termasuk melaksanakan inkues,” katanya pada sidang media di Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menegaskan inkues penting untuk menentukan bagaimana kecederaan itu berlaku dan siapa bertanggungjawab, malah pihaknya sedia memfailkan permohonan lain di mahkamah sekiranya permintaan berkenaan ditolak.
“Keluarga berpuas hati dengan bedah siasat kedua ini. Penemuannya menegaskan kepentingan inkues itu dilaksanakan,” katanya.
Allahyarham Syamsul Haris, penuntut UTM Skudai, Johor dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram.
Jenazah arwah dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Selangor.
19 Ogos lalu, ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.
Semalam jasad Syamsul Haris, 22, digali semula susulan perintah mahkamah yang membenarkan bedah siasat kedua dilakukan.