Para SUKMA 2026: Venue dipusatkan, mudahkan pergerakan atlet - EXCO

2 Sep 2026, 12:00 PM
Para SUKMA 2026: Venue dipusatkan, mudahkan pergerakan atlet - EXCO
Para SUKMA 2026: Venue dipusatkan, mudahkan pergerakan atlet - EXCO
Para SUKMA 2026: Venue dipusatkan, mudahkan pergerakan atlet - EXCO

SUBANG JAYA, 2 SEPT: Sebanyak 10 lokasi pertandingan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 dipusatkan di daerah Petaling dan Klang bagi memudahkan pergerakan kira-kira 4,000 atlet dan pegawai sepanjang temasya yang bermula 5 September ini.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pemilihan dua daerah berkenaan dibuat dengan mengambil kira keperluan atlet Para, khususnya memastikan jarak antara venue pertandingan dan tempat penginapan lebih dekat serta memudahkan urusan koordinasi.

“Tujuan kita hanya melibatkan dua daerah ini bukanlah hendak pilih-pilih, tetapi untuk memudahkan dari segi koordinasi dan pergerakan atlet kerana mereka perlu berada dekat dengan venue pertandingan dan tempat penginapan,” katanya.

Bercakap ketika ditemui pada Program Komuniti Belia Selangor (SAY) Aspire edisi ketujuh, hari ini, Najwan berkata persiapan kontinjen Selangor kini berjalan lancar, termasuk pertemuan bersama atlet Para SUKMA yang dijadualkan esok bagi memberikan dorongan dan motivasi menjelang temasya.

“Kita juga mengharapkan atlet memberikan prestasi yang terbaik dan menjadikan pencapaian rakan-rakan mereka dalam SUKMA yang telah menjadi juara keseluruhan sebagai penanda aras.

“Ini mungkin satu tekanan sedikit kepada mereka tetapi juga cabaran untuk membuktikan keupayaan dan kelebihan kerana ini pertama kali atlet-atlet Para SUKMA diuruskan Majlis Sukan Negeri Selangor berbanding sebelum ini Jabatan Belia dan Sukan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Najwan berkata atlet Para SUKMA turut menerima sokongan yang setara dengan atlet SUKMA, termasuk dari segi latihan, penajaan, keperluan peralatan, logistik dan insentif.

“Kita bukan menyetarakan insentif semata-mata tetapi setarakan dari segi latihan, penajaan yang mereka terima, barang-barang keperluan ataupun logistik yang atlet-atlet Para ini terima. Mereka terima layanan sama adil dengan atlet normal.

“Ini membuktikan Kerajaan Selangor cakna dan kita mengangkat golongan kurang upaya ini terutamanya di peringkat atlet-atlet supaya mereka ini dapat memberikan prestasi yang terbaik,” katanya.

Berhubung keadaan jerebu yang melanda beberapa daerah, Najwan berkata pemantauan rapi dilakukan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan atlet tidak terjejas sepanjang temasya.

Katanya, kebanyakan acara Para SUKMA dijadualkan berlangsung di venue tertutup, manakala hanya beberapa acara seperti olahraga diadakan di kawasan terbuka.

“Setakat ini, kita memang memantau secara dekat perkembangan cuaca ataupun jerebu dan minggu lepas pun sebenarnya kita ada satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan masalah jerebu.

“Jika daripada sudut penganjuran Para SUKMA, kebanyakan daripada acara diadakan dalam dewan secara indoor, hanya beberapa acara yang melibatkan olahraga dibuat di luar.

“Tetapi sekiranya keadaan jerebu buruk dan menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan atlet, kita mungkin akan selaraskan jadual,” katanya.

Selangor menjadi tuan rumah Para SUKMA 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 10 September, membabitkan 369 acara di 10 lokasi sekitar Petaling dan Klang.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.