MPKS ubah pendekatan, cegah isu kebersihan sebelum jadi aduan

2 Sep 2026, 12:30 PM
MPKS ubah pendekatan, cegah isu kebersihan sebelum jadi aduan

KUALA SELANGOR, 2 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan memperkemas pendekatan pengurusan kebersihan dengan mengenal pasti lokasi berpotensi menimbulkan masalah serta mengambil tindakan awal sebelum menjadi aduan rakyat.

Yang Dipertuanya, Mohamad Hanafe Basri berkata pendekatan itu penting bagi memastikan isu kebersihan dapat dicegah lebih awal, berbanding hanya bertindak selepas menerima aduan.

“Kita juga perlu beralih daripada pendekatan ‘menunggu aduan’ kepada ‘mencegah aduan’.

“Pasukan operasi perlu lebih proaktif mengenal pasti lokasi yang berpotensi menimbulkan masalah dan mengambil tindakan sebelum sesuatu isu menjadi lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kutipan Sisa Domestik dan Pembersihan Awam antara KDEB Waste Management dan MPKS, di sini hari ini.

Hanafe berkata penggunaan teknologi seperti sistem penentududukan sejagat (GPS) dan sistem pemantauan digital perlu dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepatkan tindakan di lapangan.

Katanya, keberkesanan perkhidmatan kebersihan juga perlu dinilai berdasarkan hasil yang dicapai, bukan sekadar jumlah tugasan yang dilaksanakan.

“Perhatian khusus perlu diberikan kepada kawasan tumpuan awam termasuk pasar, kawasan rekreasi dan destinasi pelancongan bagi memastikan imej Kuala Selangor sebagai daerah yang bersih, teratur, indah dan selesa terus terpelihara.

“Kawasan yang sepatutnya bersih hendaklah benar-benar bersih, kutipan dilaksanakan mengikut jadual dan setiap kelemahan diberi tindakan penambahbaikan,” katanya.

Menurutnya, kebersihan kawasan bukan sahaja penting untuk keselesaan masyarakat, malah turut menyumbang kepada imej Kuala Selangor yang mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan dan pembangunan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.