Dua maut bot bertembung di Mersing: Pengendali direman empat hari

2 Sep 2026, 9:01 AM
Dua maut bot bertembung di Mersing: Pengendali direman empat hari

JOHOR BAHRU, 2 SEPT: Seorang pengendali bot yang terlibat dalam insiden dua bot penumpang bertembung di Kuala Sungai Mersing hingga mengorbankan dua nyawa Ahad lepas, direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada kira-kira 12 tengah hari semalam.

Beliau berkata suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Mahkamah membenarkan tahanan reman empat hari hingga 5 Sept ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Rahaman berkata semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik, namun ujian saringan awal air kencing terhadapnya didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai dan Seksyen 280 kanun sama kerana menjalankan perahuan dengan gopoh.

Seksyen 304A memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 280 memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Siasatan adalah selari dengan siasatan kes mati mengejut (SDR),” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Dalam kejadian berkenaan, dua individu maut manakala empat lagi cedera selepas dua bot bertembung.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.04 malam sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing dikejarkan ke Jeti Mersing.

Tujuh yang cedera dibawa ke beberapa hospital untuk mendapatkan rawatan.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.