ad

Bangkai harimau belang ditemui dalam kereta, tiga lelaki ditahan

16 Sep 2025, 8:30 AM
Bangkai harimau belang ditemui dalam kereta, tiga lelaki ditahan

MERSING, 16 SEPT: Tiga lelaki ditahan selepas pihak berkuasa menemukan bangkai seekor harimau belang dipercayai diburu secara haram di dalam sebuah kereta di Felda Tenggaroh, di sini pagi tadi.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman menerusi hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan operasi bersepadu bersama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor itu digerakkan hasil maklumat awam.

Komander FRU SAC Rosli Md Yusof berkata pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan jenis Perodua Alza menemukan seekor harimau belang mati (Panthera Tigris Jacksoni) selain beberapa barangan lain yang turut dirampas.

“Harimau belang ialah khazanah negara yang tidak ternilai. Kehilangannya akibat kerakusan manusia ialah pengkhianatan kepada warisan bangsa.

“Risikan FRU akan terus berada di barisan hadapan, berganding bahu dengan agensi sahabat untuk memastikan setiap khazanah negara dipertahankan. Kami beriltizam membanteras pemburuan haram tanpa kompromi demi kelestarian alam dan generasi akan datang,” katanya.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa merampas seekor harimau belang yang sudah mati, sebuah kereta Perodua Alza dan empat telefon bimbit pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM294,007.

Siasatan awal mendapati haiwan berkenaan mengalami kecederaan serius dipercayai akibat jerat selain enam kesan tembakan di kepala yang menjadi punca kematian.

Kesemua suspek berumur 28 hingga 49 tahun ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 70 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar tanpa permit khas.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Pegawai penyiasat kita sedang lakukan siasatan lanjut dan lengkapkan kertas siasatan,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.