Lelaki tumbuk wanita hingga patah hidung ditahan polis

12 Apr 2026, 1:41 AM
Lelaki tumbuk wanita hingga patah hidung ditahan polis

MERSING, 12 APRIL: Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki menumbuk seorang wanita hingga mendatangkan kecederaan di hadapan sebuah pasar raya di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing DSP Mohd Nizam Yusoff berkata laporan dibuat mangsa dan bertindak atas maklumat, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di sekitar bandar ini pada jam 12.15 tengah malam semalam.

"Hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham apabila mangsa dipercayai cuba mengelak suspek yang sedang melintas jalan ketika memandu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nizam berkata akibat kejadian, mangsa berusia 48 tahun itu mengalami lebam pada bahagian dahi dan patah hidung.

Beliau berkata suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah tanpa senjata dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu tular di laman Facebook, satu video berdurasi 42 saat yang memaparkan insiden seorang lelaki secara tiba-tiba menumbuk wanita di hadapan pasar raya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.