MERSING, 31 OGOS: Dua maut manakala empat lagi cedera dalam insiden dua bot bertembung berhampiran Kuala Sungai Mersing malam ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 9.04 malam.
Susulan itu, sebuah jentera Fire Rescue Tender dan Fire Response Vehicle dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat di sini dikejarkan ke Jeti Mersing.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi, didapati berlaku pelanggaran antara dua bot. Dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan itu.
JBPM turut memaklumkan bahawa empat lagi mangsa yang mengalami kecederaan sedang mendapatkan rawatan dan operasi masih diteruskan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Mersing Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani, yang mengesahkan kejadian tersebut, berkata kes masih dalam siasatan dan satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.







