MPSepang beri penghargaan kepada 27 pelajar cemerlang SPM

2 Sep 2026, 5:42 AM
MPSepang beri penghargaan kepada 27 pelajar cemerlang SPM

SEPANG, 2 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memberi penghargaan kepada 27 pelajar daerah itu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerusi Program Permata Harapan Sepang 2026.

Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad berkata penghargaan itu diberikan sebagai pengiktirafan atas kejayaan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi, selain menyuntik semangat untuk mereka terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Kesemua penerima juga adalah penerima manfaat Program Back To School 2025 yang dilaksanakan MPSepang sebelum ini.

“Kesinambungan kedua-dua inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen pihaknya dalam memperkukuh keterangkuman sosial dan menyediakan peluang pendidikan yang lebih saksama kepada masyarakat, khususnya golongan sasaran,” kongsinya di Facebook.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada semua pelajar atas pencapaian membanggakan itu serta menghargai sokongan, pengorbanan dan bimbingan ibu bapa serta guru yang menjadi asas kejayaan mereka.

Program Permata Harapan Sepang 2026 dilaksanakan menerusi kerjasama strategik MPSepang bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan setempat.

Inisiatif itu turut bertujuan memastikan latar belakang sosioekonomi tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Sepang untuk mencapai potensi terbaik mereka.

Usaha berkenaan selari dengan aspirasi Agenda Pembangunan Mampan 2030, khususnya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1 berkaitan pembasmian kemiskinan, SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

MPSepang kekal komited memperkasa pendidikan bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan berintegriti sebagai pemangkin pembangunan serta kemajuan Daerah Sepang yang mampan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.