PETALING JAYA, 20 APRIL: Seramai 20 pelajar daripada komuniti Sikh yang memperoleh keputusan cemerlang 8A ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diraikan pada Majlis Sambutan Vaisakhi Peringkat Negeri Selangor 2026 di Laman MBPJ, malam tadi.
Majlis yang disempurnakan EXCO Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman itu bukan sahaja menjadi platform meraikan perayaan keagamaan, malah turut mengiktiraf kecemerlangan pendidikan generasi muda.
Menurut beliau, penghargaan tersebut diharap menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus mencapai kejayaan lebih tinggi serta menjadi inspirasi kepada rakan sebaya dalam komuniti.
“Sambutan Vaisakhi bukan sekadar perayaan, tetapi turut mencerminkan nilai kecekalan, kesaksamaan dan usaha gigih yang perlu diterapkan dalam kehidupan termasuk dalam bidang pendidikan,” katanya ketika berucap.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM95,200 kepada 13 gurdwara menerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) selain sumbangan khas RM50,000 kepada Persatuan Penganut Sikh Petaling Tin bagi menyokong keperluan operasi susulan perpindahan lokasi.
Sambutan yang memasuki tahun kedua penganjuran di peringkat negeri itu menghimpunkan kira-kira 1,000 pengunjung, khususnya daripada komuniti Sikh, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.
Pelbagai pengisian turut diadakan termasuk penyediaan makanan tradisi serta persembahan kebudayaan yang mencerminkan warisan dan identiti masyarakat Sikh.










