SHAH ALAM, 2 SEPT: Seorang pesara swasta kerugian lebih RM1.4 juta selepas terpedaya dengan panggilan individu tidak dikenali yang mendakwa beliau terbabit kegiatan pengubahan wang haram.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata mangsa berusia 66 tahun menerima panggilan berkenaan pada 19 Mei lalu sebelum diarahkan membuka akaun bank baharu kononnya bagi tujuan semakan pihak berkuasa.
Menurutnya, mangsa kemudian memasukkan semua simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji serta hasil gadaian emas ke dalam akaun terbabit, lapor Berita Harian.
“Selepas membuka akaun itu, seorang lelaki bertemu mangsa di kawasan perumahan sebelum mangsa menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta nombor PIN kepadanya.
“Keseluruhan wang berjumlah RM1,417,210 dimasukkan ke dalam akaun berkenaan sehingga 1 September lalu,” katanya.
Azry berkata mangsa akhirnya menyedari wang dalam akaun itu telah dipindahkan ke enam akaun berbeza selain dikeluarkan melalui mesin ATM tanpa pengetahuannya.
Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Susulan kejadian itu, polis menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan nasihat pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi apabila menerima panggilan mencurigakan.
Orang ramai juga disaran membuat semakan nombor akaun menerusi portal Semak Mule sebelum memindahkan wang serta menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan.







