SHAH ALAM, 30 OGOS: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam aktiviti penipuan dijangka menjadikan kandungan scam semakin banyak dan sukar dikesan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata teknologi AI agentik dan sistem autonomi kini dimanfaatkan scammer untuk menghasilkan mesej serta kandungan penipuan secara automatik dalam jumlah besar.
Katanya, teknologi itu juga membolehkan kandungan scam dihasilkan dengan lebih realistik sehingga menyukarkan pengguna membezakan antara kandungan tulen dan palsu.

“Scammer juga menggunakan teknik seperti algo speak bagi mengubah perkataan, simbol atau format kandungan untuk mengelak dikesan sistem algoritma dan moderasi platform.
“Kalau dahulu kandungan scam lebih mudah dikenal pasti, sekarang ia semakin kompleks kerana pengolahan video dan kandungan semakin realistik terutama sejak wujudnya AI,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Menurut Siraj, perkembangan berkenaan memberi cabaran kepada pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta penyedia platform untuk mengesan dan menurunkan kandungan scam dengan lebih pantas.
Beliau berkata pengguna juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kandungan mencurigakan yang ditemui di media sosial, selain tidak bergantung sepenuhnya kepada tindakan kerajaan dan penyedia platform.
“Kalau nampak, terus laporkan. Jangan biarkan kerana satu interaksi dengan kandungan scam boleh menyebabkan lebih banyak iklan seumpamanya disasarkan kepada kita,” katanya.
Siraj turut menasihatkan pengguna supaya tidak menekan pautan atau berinteraksi dengan iklan yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan, khususnya iklan berkaitan tawaran kewangan.
Pada 22 Ogos lalu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sebanyak 99,693 kandungan media sosial berunsur penipuan termasuk scam diturunkan setakat 15 Julai tahun ini.
Jumlah itu melebihi 98,503 kandungan yang diturunkan sepanjang 2025.
Beliau berkata sebanyak 106,268 permohonan untuk menurunkan kandungan berkenaan turut dihantar kepada platform media sosial seperti Meta, TikTok dan YouTube dalam tempoh sama, berbanding 102,113 permohonan sepanjang tahun lalu.









