Polis tumpaskan lima sindiket scam, 40 individu ditahan termasuk warga asing

27 Ogos 2026, 9:28 AM
Polis tumpaskan lima sindiket scam, 40 individu ditahan termasuk warga asing

SHAH ALAM, 27 OGOS: Polis berjaya menumpaskan pelbagai sindiket penipuan termasuk love scam, phone scam dan langganan video lucah dengan penahanan 40 individu dalam serbuan di lima premis pusat panggilan di sekitar negeri ini antara 18 hingga 25 Ogos lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kesemua individu berkenaan terdiri daripada tiga lelaki tempatan serta 32 lelaki dan lima wanita warga asing.

Shaz

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar. Foto BERNAMA

“Dalam siri serbuan ini, polis membongkar kegiatan di lima premis pusat panggilan yang dijadikan markas sindiket untuk menjalankan kegiatan penipuan yang menyasarkan mangsa dari luar negara.

“Kesemua individu itu dipercayai operator khidmat pelanggan manakala pelbagai peralatan komunikasi serta barangan kes bernilai keseluruhan RM165,000 turut dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati sindiket terlibat masing-masing mula aktif sejak pertengahan tahun ini dengan menyewa premis perumahan seperti kondominium, banglo dan rumah teres bagi mengaburi pihak berkuasa.

Shazeli berkata berdasarkan siasatan awal, sindiket itu didapati menggunakan taktik baharu iaitu menggunakan kad kuasa serta gambar polis negara luar bagi memperdaya mangsa.

Dalam serbuan pertama pada 18 Ogos di Sungai Buloh, beliau berkata polis menahan 10 lelaki warga asing yang menyamar sebagai pegawai polis bagi memperdaya warganegara Jepun menerusi kegiatan phone scam atau penipuan panggilan telefon.

“Operasi kedua pada keesokannya di Bukit Rimau pula membabitkan sindiket penipuan langganan video lucah menerusi laman web yang menyasarkan warganegara China.

“Hasil serbuan ketiga di Kajang pada 20 Ogos, polis menahan tiga lelaki tempatan dan empat lelaki warga asing yang menjalankan penipuan phone scam yang menyasarkan warga Jepun menggunakan aplikasi 'Line' serta teknologi 'Swapface',” katanya.

Bagi serbuan keempat dan kelima di Sungai Buloh serta Subang Jaya pada 24 dan 25 Ogos, Shazeli berkata pihaknya membongkar kegiatan love scam atau penipuan cinta yang menyasarkan mangsa dari Hong Kong dan Taiwan menggunakan aplikasi QQ serta Telegram.

Beliau berkata kesemua suspek warga asing itu dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial atau pas pelancong dan mereka kini direman bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 120B kanun sama.

“Polis turut menyita ratusan unit telefon bimbit, set komputer, komputer riba, peranti penghala, kenderaan serta buku skrip penipuan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan itu,” katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.