RAWANG, 1 SEPT: Hospital Pakar Selgate Rawang di sini, meriah apabila julung kali menyambut kelahiran dua bayi merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, semalam.
Kelahiran secara normal kedua-dua bayi lelaki itu diraikan bukan sahaja oleh ahli keluarga khususnya ibu bapa mereka, tetapi juga kakitangan di hospital berkenaan.
Ibu kepada salah seorang bayi berkenaan, Nur Zakiah Othman, 37, berkata, dia dan suami, Samri Abd Hamid, 37, bersyukur kerana cahaya mata ketiga mereka dilahirkan dalam keadaan sihat dan proses kelahiran berjalan lancar.
Aimi yang juga seorang pegawai polis berkata, sambutan Hari Kebangsaan memang sentiasa dekat di hati keluarganya, tetapi tidak menjangka anak mereka akan dilahirkan pada tarikh bersejarah itu.
“Tarikh jangkaan bersalin yang doktor beri adalah pada 1 September. Semasa tahu tarikh 1 September, ramai orang sekeliling yang doakan anak saya dilahirkan pada hari merdeka, dan doa mereka termakbul.
“Gembira dan tidak sangka anak ini dapat lahir pada 31 Ogos kerana tarikh itu ramai yang nantikan dan mahu. Alhamdulillah syukur, tarikh ini akan diingati sampai bila-bila dan diraikan semua,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, ibu, Nadira Zafirah Zamani, 36, beliau dan suaminya, Ahmad Sharafuddin Ahmad Puad, 37, memilih Hospital Pakar Selgate Rawang bagi kelahiran anak ketiga mereka berikutan membaca ulasan yang baik mengenai hospital berkenaan.
Beliau yang bekerja sebagai kakitangan di sektor swasta amat berpuas hati dengan perkhidmatan dan layanan baik yang diterima selain kos rawatan hospital yang berpatutan.
“Saya membaca ulasan di media sosial mengenai Hospital Pakar Selgate Rawang dan juga ulasan mengenai doktor-doktor di sini. Setakat ini semuanya baik, sebab itu kami memilih hospital ini,” katanya yang tinggal di Bandar Puncak Alam.
Terdahulu, keluarga kedua-dua bayi berkenaan turut diraikan kakitangan Wad Obstetrik dan Ginekologi hospital berkenaan selain menerima hamper istimewa berupa barangan keperluan bayi.
Pada Oktober tahun lalu, Selgate Corporation mencatat satu pencapaian penting menerusi pelancaran hospital pakar di Rawang, fasiliti penjagaan kesihatan swasta utama pertamanya di wilayah tengah.
Pelancaran hospital itu mencerminkan visi jangka panjang syarikat untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, prihatin dan mudah diakses komuniti di seluruh Selangor.
Majlis perasmian Hospital Pakar Selgate Rawang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Mei lalu.
Sejak mula beroperasi pada Oktober 2025, Hospital Selgate Rawang mempunyai kira-kira 193 kakitangan termasuk 76 jururawat merangkumi lebih 20 bidang kepakaran dan subkepakaran.











